7 Salah Anggap Mengenai Dubai

Sedar-sedar sudah 3 tahun saya berulang alik dari Kuala Lumpur dan Dubai menjalankan perniagaan di sini, dan sebagai rumah ke-dua di Dubai. Menjalankan perniagaan global, memang ada cabarannya, kejap di Kuala Lumpur, kemudian semula ke Dubai, namun apakah hidup tanpa cabaran bukan? Cabaran akan membuatkan kita menjadi insan yang lebih kuat!

3 tahun di Dubai, semakin serasi saya dengan bandaraya dan negara timur tengah ini yang terkenal dengan kemewahan, kekayaan dan glamour!

Tetapi, banyak juga perkara yang saya salah anggap sebelum saya berhijrah ke Dubai. Dan lebih saya mengenali negara UAE, dan bandaraya Dubai, lebih saya fahami.

Bagi anda yang ingin datang ke Dubai untuk bercuti, atau bekerja atau mulakan perniagaan, apa kata saya bantu anda kongsikan antara 7 salah anggap saya mengenai Dubai, UAE sebelum ini…

1. Ingatkan ramai orang Arab, perlu berbahasa Arab

Sebelum saya memulakan perniagaan di Dubai 3 tahun yang lalu, saya ingat, Dubai dipenuhi ramai orang Arab. Maklumlah, nama pun negara Arab!

Tetapi tanggapan saya salah. Tercari-cari jua waktu permulaan mana orang Arab berjubah dan berpurdah?

Sebenarnya, lebih kurang 90% populasi Dubai adalah expat. Ya, bukan orang tempatan tetapi orang dari luar negara. Bayangkan, setiap 10 orang yang kita jumpa di luar, 9 adalah orang bukan Arab dan hanya seorang orang Arab.

Dubai adalah bandaraya international, kalau ke mana-mana anda pergi anda akan jumpa pelbagai bangsa dari pelbagai negara. Orang Arab, tersangatlah kurang.

3 tahun lepas, sebelum memulakan perniagaan di sini, saya belajar bahasa Arab. Konon-kononnya, ianya penting untuk perniagaan. Namun, realitinya adalah English adalah bahasa pengantara utama di sini. Maka, kelas bahasa Arab saya pun entah ke mana! 🙂

2. Negara yang sangat panas

Negara timur tengah memang terkenal dengan padang pasir, tiada tumbuhan, tiada hujan dan cuaca yang panas!

Dulu-dulu di sekolah, saya tidak pandai geografi, dan pendapat saya juga sama. Sememangnya ada betulnya, UAE adalah negara yang panas, namun, ianya bermusim. Musim panas ada, musim sejuk juga ada.

Musim sejuk di Dubai, boleh hingga 7 darjah celcius di waktu-waktu tertentu. Namun musim panas di dubai pula boleh mencecah 50 darjah celcius pun boleh!

Ketika musim panas (Julai-September), sekolah pun tutup dan cuti. Perniagaan di Dubai perlahan sedikit. Ketika ini, ramai yang ke luar negara, bercuti atau pulang ke negara asal. Ya, ketika ini tersangatlah panas. Ada yang kata macam “oven”!

Tetapi, ianya tidak menjadi masalah oleh kerana bandaraya Dubai bersedia untuk keadaan ini. Segala-galanya adalah indoors. Dari shopping, hiburan, tempat makan semuanya ada air-cond. Sehingga hendak pergi ski juga adalah indoor! Siapa nak pergi ski di Timur Tengah, boleh datang Dubai…

Nak ski di dubai pun boleh! Indoor ski terbesar di dunia!

3. Mahal!!!

Pastinya inilah tanggapan pertama ramai mengenai Dubai. Dubai adalah mahal! Saya juga berfikir begitu sebelum ini. Tak 100% salah. Tetapi, biar saya kongsikan dari segi context.

Ramai antara kita mungkin pergi ke Dubai untuk bercuti. Dan apabila kita bercuti, kita hanya mempunyai masa yang terhad seminggu, dua atau kurang. Dan waktu ini, kita akan melawat tempat-tempat menarik di Dubai.

Maklumlah, nama pun tempat pelancong. Di tempat-tempat ini pastinya barangan mahal. Seperti di Burj Khalifa, banggunan tertinggi di Dunai. Makan nasi goreng di food court Dubai Mall (connected to Burj Khalifa) pun boleh cecah RM50+. Itu pun baru food court!

Tapi bukan hari-hari kita akan makan di Burj Khalifa bukan? Samalah konsepnya, di KL pun ada restoran mewah dan mahal, bukan hari-hari hendak makan di sana.

Di Dubai, apabila kita sudah biasa, sebenarnya kedai mamak pun ada. Nak makan roti canai dan teh tarik (cuma mereka tak tarik) dalam harga RM2-4 pun boleh dapat.

Kalau nak diikutkan bandaraya mahal, negara jiran kita Singapore adalah jauh lebih mahal dari Dubai!

Top 10 bandaraya termahal di dunia. Yang tersenarai mengikut turutan paling mahal…

1. Singapore
2. Paris
3. Hong Kong
4. Zurich
5. Geneva
6. Osaka
7. Seoul
8. Copenhagen
9. New York
10. Los Angeles

(Dubai tak tersenarai pun dalam top 10!)

Tapi betul, kos of living di Dubai adalah lebih mahal dari Malaysia.

4. Orang ramai kaya raya

Ya, Dubai terkenal sebagai bandaraya mewah. Bila dah mewah, ramai la orang kaya raya. Tetapi, seperti tempat lain, bukannya semua orang kaya sahaja. Pastinya ada yang kaya, ada yang sederhana, ada yang bekerja dengan pendapatan kurang RM1,000 pun ramai juga!

Oleh kerana ramai di Dubai adalah expat, mereka yang berhijrah ke Dubai sama ada untuk bekerja atau memulakan perniagaan, boleh dikatakan pendapatan mereka sudah stable sebelum mengambil keputusan untuk pindah ke sini.

Dalam masa yang sama juga, mereka dari negara-negara yang berpendapatan rendah, datang ke Dubai untuk bekerja walaupun berpendapatan rendah, namun masih lagi tinggi berbanding dengan mata wang negara mereka.

Secara rata-rata, orang tempatan (orang Arab) di sini, memang kaya raya. Ramai expat yang berpindah ke sini yang mendapat kerja di syarikat antarabangsa multimillion juga boleh dikatakan hidup senang dan mewah. Sebagai perniagaan, oleh kerana gaya hidup yang tinggi dan disposable income yang tinggi, pemilik perniagaan yang berjaya juga boleh dikatakan orang kaya.

Tetapi ramai (boleh dikatakan jauh lebih ramai) yang hidup sederhana dan tak kurang juga hidup di bawah paras kemiskinan di Dubai, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah yang hidup di bandaraya yang mahal. Pastinya mereka tidak tinggal di kawasan mewah Dubai, tetapi di kawasan luar bandaraya Dubai yang lebih affordable.

Seperti di serata dunia, ramai perlu bekerja keras untuk menampung gaya hidup sendiri.

5. Polis bawa kereta Ferrari, Lambo, Porsche dan Mazeratti

Jujurnya pertama kali saya tiba di Dubai beberapa tahun lepas, ini yang saya cari! Mana taknya, sering menjadi viral di Internet, kereta polis adalah kereta sports seperti Ferrari, Lambo, Porsche dan Mazeratti.

Beberapa hari berlalu, tak jumpa pun! Seminggu dua kemudian, tak nampak pun! Yang nampak adalah kereta polis Toyota. Mana sports car kereta polis?

Kemudian baru saya tahu, TAK SEMUA kereta polis adalah sports car. Patutlah jarang nampak. Malah yang sports car hanyalah sebilangan kecil sahaja. Sekali sekala ada la ternampak. Tapi kebanyakan kereta polis bukanlah kereta sports.

Bagi saya, kereta sports polis hanyalah sekadar “show” sahaja di Dubai di tempat-tempat tertentu, lebih-lebih lagi di kawasan pelancongan. Mana taknya, kadar jenayah di Dubai adalah sangat-sangat rendah, hampir kosong (ini antara sebab saya suka Dubai!). Tak de guna pun kereta sports untuk kejar penjenayah…

Namun, di Dubai memang ramai memiliki kereta sports. Boleh dikatakan setiap street dan junction, selalunya pastinya ada kereta sports di jalan raya.

Tak lah banyak sampai macam ni. Ni hanya ketika pertunjukan kereta sports di Dubai 🙂

*Nota: Terlanjur cakap mengenai kereta di Dubai, Uber, paling busuk adalah kereta Lexus. Tak boleh kurang dari Lexus- yang ni memang boleh nampak merata-rata tempat.

6. Ramai orang kaya miliki harimau!

Sini satu lagi ‘viral’ yang terjadi. Gambar orang Dubai yang memiliki harimau!

Buatnya Cheetah tu NGAPPP kepala pemandu tu baru tahu...

Sekali lagi, setahu saya mungkin seorang dua kot yang ada pet harimau. Atau 3-4 orang. Saya pun tak pasti. Dan antara sebabnya adalah UAE membenarkan pemilikan haiwan exotic (kebanyakan negara melarang). Jadi, memang betul pun, orang-orang kaya Dubai yang terlebih kaya raya dan tak tahu nak belanja duit ke mana, mungkin bela lah harimau seekor dua.

Tetapi ianya bukanlah kebiasaan. Yang saya tahu, adalah kerabat ruler of Dubai yang mempunyai ruang/sangkar haiwan-haiwan exotic dia rumahnya…. oh, bukan rumah, tapi palace! (boleh di lihat dari jalan raya)

7. Susah untuk dapat kerja di Dubai atau mulakan perniagaan di Dubai!

Dan soalan cepu emasnya… adakah mudah untuk dapat kerja di Dubai atau mulakan perniagaan di Dubai?

Jawapannya, nak kata susah, tak susah. Nak kata senang… boleh juga!

Oleh kerana poin saya yang (1) di atas, lebih urang 90% populasi UAE/Dubai adalah expat, iaitu orang-rang dari negara lain. Bukan orang tempatan. Oleh sebab itu, ekonomi Dubai digerakkan oleh orang luar (seperti saya). Tanpa orang luar, pastinya ekonomi Dubai tidak booming seperti kini.

Oleh sebab itu, kerajaan UAE mempermudahkan juga orang luar negara untuk mendapatkan kerja di Dubai, serta mempermudahkan juga perniagaan bermula di Dubai.

Namun oleh kerana poin saya yang ke (3), persepsi dan juga realiti bahawa kos hidup di Dubai adalah mahal dibandingkan dengan banyak negara lain (termasuk Malaysia), ia menyukarkan juga mereka yang ingin kerja di sini dan menjalankan perniagaan di sini.

Dari segi kerja, dan sebagai perbandingan, pemandu teksi boleh menjana pendapatan bulanan RM5,000-RM6,000 di sini. Tetapi, oleh kerana kos hidup yang lebih tinggi, boleh dikatakan kesemua pemandu teksi yang saya jumpa dan berbual mengatakan mereka tidak dapat bawa ahli keluarga mereka (isteri dan anak-anak) ke Dubai dan terpaksa tinggalkan mereka di negara asal (Pakistan, India atau Bangladesh). Bertahun-tahun terpaksa berjauhan dari mereka. Dan ini adalah perkara yang sangat biasa di Dubai.

Bagi perniagaan pula, jangan lupa poin saya yang ke (2). Dubai mempunyai musim panas yang tersangatlah panas. Banyak aktiviti perniagaan perlahan ketika ini. Usahawan berpengalaman pesan pada saya, di Dubai perlu membuat business plan 9 bulan. Bukan 12 bulan. Oleh kerana 3 bulan itu, perniagaan agak slow. Oleh itu, perniagaan perlu bersiap sedia untuk keadaan ini.

Pendek kata, itulah 7 Salah Anggap saya mengenai Dubai sebelum saya memulakan perniagaan di sini. Mana tahu, ada rezeki anda datang melawat atau kembangkan perniagaan anda ke Dubai pula satu hari nanti. Memang best!

The following two tabs change content below.
Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

About Irfan Khairi

Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

2 thoughts on “7 Salah Anggap Mengenai Dubai

  1. Terima kasih, tolong kongsikan info serba ini. Sangat menarik dan boleh dijadikan panduan bagi sesiapa yang mempunyai keinginan untuk membuka syarikat di Dubai.

Leave a Reply

Your email address will not be published.