Category Archives: Tip Perniagaan

Blog Perniagaan vs Facebook Perniagaan (Bahagian 1)

Dalam perniagaan, manakah yang lebih penting? Mengguna Blog perniagaan atau Facebook perniagaan?

blog dan facebook

Jawapannya agak cliche, sebab kedua-duanya penting dan kedua-duanya lain fungsinya untuk sesuatu perniagaan. Kita pecahkan kegunaannya di bawah:

Facebook untuk perniagaan:

  • Berhubung dengan pelanggan lama, baru dan prospek secara santai
  • Berkongsi maklumat-maklumat menarik yang berkaitan dengan industri
  • Update pengikut dan penyokong tentang perniagaan yang dijalankan
  • Kongsi pengalaman-pengalaman lalu dan info terkini

Pamerkan gambar-gambar kejayaan perniagaan anda untuk mendapat kredibiliti.

[Bersambung di “Blog Perniagaan vs Facebook Perniagaan (Bahagian 2)”]

 

Menjadi Usahawan Internet Berjaya dengan Kuasa Fitrah (Bahagian 2)


[Bersambung dari “Menjadi Usahawan Internet Berjaya dengan Kuasa Fitrah (Bahagian 1)”]

4. Ketenangan

“Saya tertekan… Saya mahu pergi bercuti.” Kebanyakan usahawan akan mengalami situasi tertekan atau sudah penat melakukan bisnes dan mahu pergi bercuti menenangkan fikiran. Ketenangan adalah salah satu sifat fitrah manusia. Manusia tidak sukakan hidup yang bingit, bising, tertekan dan sebagainya.

Ketenangan adalah penawar yang paling mujarab dalam mengubati kekusutan fikiran para usahawan. Buktinya, setiap tahun usahawan biasanya ada perancangan untuk pergi bercuti di mana-mana tempat, agar kepenatan dan tekanan yang ditanggung dapat dilupai buat seketika. Ini membuktikan dalam diri manusia ada sifat semulajadi ini. Ia tidak dapat dilawan atau dihapuskan, sebaliknya harus memenuhi keperluannya (seperti percutian).

Dalam Islam, terdapat banyak cara untuk kita memiliki ketenangan diri tanpa perlu pergi bercuti. Tidak bermaksud bercuti tidak berkesan, tetapi ada banyak lagi cara lain. Anda boleh pergi bercuti, tetapi dalam masa yang sama, cara lain juga perlu diamalkan.

Antara cara untuk menenangkan diri adalah dengan mengingati Allah. Perkara ini jelas melalui satu firman Allah dalam al-Quran, “Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”, surah Al-Raad, ayat 2. Mengingati Allah mempunyai maksud yang luas, contohnya dari segi cara khusus iaitu seperti solat, beriktikaf di masjid, menghadiri majlis ilmu, bersahabat dengan ilmuan agama, membaca buku agama, mendengar audio agama, berzikir dan membaca al-Quran. Manakala dari segi umum pula kita meninggalkan perkara yang Allah larang dan melakukan kebaikan yang disuruh olehNya.

ketenangan hati

Ketenangan fikiran dan jiwa adalah faktor terpenting untuk menjadi usahawan yang berjaya. Tanpa ketenangan, kita amat sukar membuat keputusan yang adil, waras dan tepat. Malah, perniagaan kita boleh hancur dan gagal, malah kita akan hidup dalam tekanan dan takut pada bayang-bayang sendiri.

5. Mudah Rasa Kasihan

Sejahat-jahat manusia, pasti ada sedikit “rasa mudah kasihan” dalam diri mereka. Contohnya seperti cerita Robin Hood, iaitu seorang hero yang kerjanya adalah mencuri dan merompak harta kekayaan orang lain terutama orang yang jahat. Hero itu melakukannya kerana kasihan dengan orang-orang miskin yang kelaparan. Hukum mencuri itu tetap salah, namun apa yang ingin disampaikan di sini adalah sifat fitrah tersebut, iaitu rasa kasihan terhadap manusia lain.

Dalam perniagaan, ada usahawan yang tamak dan ada usahawan yang bermurah hati. Namun yang tamak itu tidak semestinya akan terus tamak dengan hartanya. Mungkin serba sedikit akan mudah rasa tersentuh apabila melihat kesusahan hidup orang lain berbanding dirinya yang begitu senang. Lantas hadirlah niat dalam hatinya untuk melakukan kebaikan seperti melakukan sedekah dan sumbangan.

Ramai manusia berubah hasil daripada sifat semulajadi yang ada dalam diri. Bagi usahawan yang masih sedar akan kebaikan, gunalah sifat fitrah mahu membantu orang lain sebaik-baiknya sebelum sifat tamak menguasai diri. Asahlah sifat “kasihankan orang lain” dengan membantu mereka dengan ikhlas, walaupun kita mengenakan bayaran. Kita tidak perlu risau usahawan lain yang tamak haloba dan kedekut, kerana dengan kuasa fitrah yang ada dalam diri mereka, semoga mereka berubah akhirnya, dengan izin Allah.

Semoga perkongsian pada kali ini memberikan manfaat kepada anda. Sama-sama kita jadikan “Kuasa Fitrah” sebagai kuasa untuk kita berubah dan menjadi usahawan yang berjaya, kaya dan bahagia.

Menjadi Usahawan Internet Berjaya dengan Kuasa Fitrah (Bahagian 1)

 

Ingin jadi usahawan online yang berjaya? Sudah pasti anda mahu. Tetapi, bagaimana caranya? Persoalan ini adalah perkara biasa dan ditanya oleh sesiapa pun yang ingin berjaya. Terdapat dua faktor kejayaan iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Pada kali ini, kami kongsikan dengan anda mengenai faktor dalaman.

Sempena bulan mulia ini yang dimulakan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, atau dipanggil juga sebagai Hari Raya Fitrah, kita ambil kekuatan yang ada disebaliknya. Fitrah pada asasnya bermaksud sifat-sifat fitrah yang ada dalam diri manusia sejak dari lahir lagi. Sifat-sifat ini tidak boleh dibuat-buat atau dicipta, tetapi ia sudah tercipta dalam diri manusia. Apa yang boleh kita lakukan adalah, gunakan sifat fitrah ini untuk menjana kebaikan dan kejayaan.

Untuk artikel kali ini, kami akan fokuskan kepada 5 sifat fitrah yang boleh digunakan oleh usahawan online untuk meraih kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan.

1. Jujur

Sifat ini ada pada semua manusia, termasuklah kepada penjahat dan ahli maksiat sekalipun. Cuma mungkin mereka tidak menggunakan sifat fitrah ini langsung, ataupun menggunakan ia di jalan yang salah. Namun jujur yang sebenar adalah jujur dalam perkara yang benar sahaja. Dalam perniagaan, sifat jujur adalah salah satu pati kejayaan. Bahkan Rasulullah pernah mengingatkan para peniaga agar jujur dalam membuat timbangan barang.

Sejahat mana seseorang seperti menipu dalam urusan jual beli, hati dan jiwanya pasti tidak tenang. Hal Ini kerana jiwa jahat mereka itu sedang berlawan dengan sifat jujur yang ada dalam diri mereka.

Jadi apakah yang perlu kita lakukan? Mudah sahaja. Gunakan sifat jujur yang sedia ada dalam diri. InsyaAllah kita akan memiliki ketenangan, rezeki sentiasa tidak putus-putus dan para pelanggan akan tetap suka berurusan dengan kita untuk tempoh yang panjang.

2. Memaafkan dan Meminta Maaf

mohon keampunan

Manusia tidak maksum, termasuklah para pelanggan, peniaga dan usahawan. Kita tidak mampu mengelak kesilapan terutama yang di luar kawalan kita. Sebagai usahawan, andai kata kita dimarahi oleh pelanggan, dikritik oleh pesaing dan ataupun mendapat pelanggan yang cerewet, maafkan sahaja mereka. Ia lebih baik daripada terlalu memikirkan mereka atau membalas balik perbuatan mereka. Memaafkan adalah sifat fitrah yang ada dalam diri manusia. Rasa mahu memaafkan orang lain tetap ada walaupun diri amat marah, benci dan berdendam.

Selain daripada itu, rasa bersalah juga pasti akan menyusul apabila kita cuba ‘menegakkan benang yang basah’, memfitnah, berkata dusta dan sebagainya. Ia membuktikan sifat mahu meminta maaf juga adalah sifat semulajadi manusia. Sebagai usahawan, andai kata kita melakukan kesilapan, kita tidak perlu mempertahankan diri yang jelas bersalah, sebaliknya terus meminta maaf kepada pihak yang berkaitan.

Kesimpulannya, dalam perniagaan kita perlu “give and take”. Ada masa kita perlu memaafkan, dan ada masa kita perlu meminta maaf. Inilah sikap seorang usahawan sejati.

3. Perlunya Tuhan

Pernahkah anda mendengar kata-kata sebegini, “Oh my god…”? Pernah bukan? Walaupun yang mengucapkannya tidak mempunyai agama, namun secara spontan kata-kata itu terpacul keluar dari lidah mereka. Hal Ini membuktikan dalam diri setiap manusia, rasa bertuhan itu wujud. Satu lagi bukti mudah adalah, semua manusia tidak kira agama akan berdoa sambil melihat ke langit. Malah terkadang yang tidak beragama pun apabila berhajat sesuatu, mereka melakukan perkara yang sama. Jadi ada apa dengan langit? Ia mengisyaratkan seperti ada satu kuasa besar di atas sana.

Itulah sifat fitrah manusia. Sehebat-hebat manusia, mereka tetap berdoa dan mengharapkan sesuatu yang ajaib dari atas sana. Bagi yang beragama Islam, Tuhan kita adalah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Sejahat-jahat penganut agama Islam, pasti akan tertutur jua nama-nama Allah yang suci. Ini membuktikan dalam diri manusia ada sifat fitrah, iaitu adanya Allah walaupun diri cuba menafikan.

Sebagai usahawan, kita boleh gunakan sifat fitrah ini dalam segenap segi usaha perniagaan kita. Contohnya apabila kita dilanda sesuatu masalah, kita terus berdoa dan berkomunikasi denganNya untuk meminta bantuan. Sentiasalah berkomunikasi dengan Allah dengan memujiNya, berdoa kepadaNya dan memohon ampun daripadaNya. Sesungguhnya, jiwa kita akan ‘kehausan’ apabila kita melupai Allah dan dari situ bermulalah detik hitam dalam hidup kita seperti gagal dalam perniagaan dan mudah hilang perhitungan. Jangan biarkan jiwa kita yang mahu ‘bersambung terus’ dengan Allah dibiarkan begitu saja.

[Bersambung di “Menjadi Usahawan Internet Berjaya dengan  Kuasa Fitrah (Bahagian 2)”]

 

Penipuan di Internet (Bahagian 2)

 

[Bersambung dari “Penipuan di Internet (Bahagian 1)”]

SKIM-SKIM penipuan pula sering terjadi terutama dalam peluang-peluang menjana pendapatan atau sistem-sistem untuk menjadi kaya. Oleh itu, sekiranya anda terbaca sahaja peluang-peluang menjana pendapatan, satu ALARM patut berbunyi dalam kepala anda sebagai WARNING untuk be ALERT!

amaran

Untuk mengelakkan diri anda dari tertipu dengan SCAM, atau SKIM-SKIM ini, banyakkan bertanya- be curious!

  1. Adakah individu atau syarikat tersebut mempunyai kredibiliti dan reputasi? Ataupun dirinya menyorok di sebalik laman web tanpa sesiapa ketahui sama ada dirinya wujud ataupun tidak.
  2. Adakah bunyinya terlalu senang untuk membuat wang? Percayalah kata saya… hendak menjadi jutawan amat susah. Tetapi, seringkali bila terdapat peluang-peluang mengatakan seseorang boleh menjadi kaya dengan pantas dan kerja senang- mudah sahaja terjerat.
  3. Adakah bukti-bukti ditunjukkan? Di sini dengan kehadiran teknologi, ianya menjadi amat sukar. Income statement, gambar penyata bank, cek yang di’scan,’ screenshot pendapatan online, kesemuanya boleh direka.

Sekiranya timbul rasa ragu-ragu ketika anda menyelidiki mencari jawapan- berhati-hatilah, ianya mungkin scam.

Ada juga di antara skim-skim ni menggunakan nama saya contoh “Dr Irfan Khairi jutawan muda telah memperolehi berjuta melalui Internet, anda bila lagi? sertai skim-skim ini amat mudah menjadi jutawan Internet… “

Ingin saya mengingatkan pembaca Majalah IK, saya tidak pernah pun menyertai skim-skim di atas untuk memperolehi pendapatan. Nak memperolehi pendapatan lumayan di Internet, caranya adalah ‘consistent hard work.” Jalankan perniagaan secara sah dan jujur. Kerja bersungguh-sungguh dan dengan tekun, Insya-Allah boleh berjaya!

PERINGATAN

To make a million, tiada short cut. Sering ingat-mengingati rakan-rakan takut ramai yang terjerat dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Sebab ramai yang nak kaya dengan mudah dan cepat, maka bertambahlah skim dan scam untuk take advantage of the situation. Namun, saya yakin… para pengguna internet di zaman ini secara rata-ratanya adalah lebih bijak, peka dan lebih sophisticated. Semakin bijak anda sebagai pembeli, maka, lebih mudah anda menghidu SCAM.

Penipuan di Internet (Bahagian 1)

Kes-kes kena tipu di Internet, malangnya ada juga terjadi. Selalu ketika saya memberi ceramah-ceramah tentang perniagaan atau workshop, saya sering mendapat soalan-soalan seperti “Boleh percaya ke perniagaan Internet ni?”

Jawapan yang boleh saya berikan adalah, bukan hanya perniagaan Internet sahaja yang selalu berlaku penipuan. Perniagaan bukan Internet pun ada juga yang kena tipu malah lebih lagi. Sampai berpuluh dan beratus-ratus ribu hangus begitu saja apabila ditipu oleh si penyeleweng!

penipuan di internet

Sementelahanlah pula dengan perniagaan seperti projek-projek perumahan atau penjualan hartanah? Perniagaan MLM? Mail order? Malah perniagaan trading pun semuanya tidak dapat lari daripada berlakunya penipuan. Setiap apa perniagaan yang mempunyai keluar masuk wang ringgi, pasti akan ada, ‘hantu’ yang akan cuba memperdayakan kita.

Ianya bergantung kepada individu (perniagaan) itu sendiri sama ada nak tipu atau tidak. Internet tidak boleh disalahkan. Selain daripada peniaga, pengguna juga perlu berhati-hati agar tidak ditipu. Selalu juga pengguna Internet datang kepada saya dan bertanya “Betul ke skim ni?” atau “Boleh jadi kaya ke kalau buat macam ni?” atau “E-mel yang saya terima ni betul ke boleh jadi kaya?”.

Kebanyakannya adalah TIPU semata-mata. Di sini saya ingin memberi peringatan kepada anda semua agar berhati-hatilah bila…

  • Anda menerima e-mel mengatakan, ada pakcik dari Nigeria meninggal dunia dan perlu ‘bank account number’ anda di Malaysia untuk menyimpan dana bermillion-million ke bank akaun anda. – INI TIPU!
  • Pelaburan yang tidak mempunyai backup atau bukti yang nyata. Ada yang hilang beribu ringgit. – TIPU!
  • Hantar e-mel kepada banyak orang dan ubah kedudukan nombor bank akaun peserta pertama, menjadi kedua dan sebagainya. Kadangkala digunakan istilah “sumbangan ikhlas” – TIPU
  • Tiba-tiba dapat e-mel dari Spain menyatakan anda  memenangi lottery, dan mereka perlukan nombor akaun anda untuk memasukkan wang yang dimenangi. – …hati-hati TAK ADA orang menang lottery dibayar melalui akaun bank!

[Bersambung di “Penipuan di Internet (Bahagian 2)”]

 

Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 1)”]

al quran

Pada asalnya Abu Hurairah RA bukanlah seorang penulis, beliau hanya seorang ahli hafazan yang sangat mahir dan kuat daya ingatan. Namun beliau mula mendalami serta mempelajari ilmu penulisan. Beliau menyiapkan dirinya dan menggunakan bakat dan kemampuannya memikul tanggung jawab dan memelihara peninggalan yang sangat penting ini dan mewariskannya kepada generasi kemudian.

Nabi SAW pernah berbicara kepada kami pada suatu hari, kata Abu Hurairah RA: “Siapa yang membentangkan serbannya hingga selesai perbicaraanku, kemudian ia meraihnya ke dirinya, maka ia takkan terlupa akan suatu pun dari apa yang telah didengarya dari padaku!”

Maka kuhamparkan kainku, lalu baginda berbicara kepadaku, kemudian kuraih kain itu ke diriku, dan demi Allah, tak ada suatu pun yang terlupa bagiku dari apa yang telah kudengar daripadanya! Demi Allah kalau tidak kerana adanya ayat di dalam Kitabullah nescaya tidak akan kukabarkan kepada kalian sedikit jua pun! Ayat itu ialah:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, sesudah Kami nyatakan kepada manusia di dalam Kitab mereka itulah yang dikutuk oleh Allah dan dikutuk oleh para pengutuk (Malaikat-malaikat)!”

Demikianlah Abu Hurairah RA menjelaskan rahsia kenapa hanya beliau seorang diri yang banyak mengeluarkan riwayat dari Rasulullah SAW.

Yang pertama: kerana ia meluangkan masa untuk menyertai Nabi SAW lebih banyak dari para sahabat lainnya.

Kedua, kerana beliau mempunyai daya ingatan yang kuat, yang telah diberi berkati oleh Rasulullah SAW hingga ia menjadi semakin kuat.

Ketiga, beliau menceritakannya bukan kerana ia gemar bercerita, tetapi kerana keyakinan bahawa menyebarluaskan hadis-hadis ini, merupakan tanggung jawabnya terhadap Agama dan hidupnya. Jika  tidak dilakukannya bermaksud menyembunyikan kebaikan dan haq, dan termasuk orang yang lalai yang sudah tentu akan menerima hukuman kelalaiannya!

Pada suatu hari Marwan bin Hakam ingin menguji kemampuan beliau menghafaz Hadis Nabi. Maka dipanggilnya Abu Hurairah RA dan dibawanya duduk bersamanya, lalu dimintanya untuk menyampaikan hadis-hadis dari Rasulullah SAW. Sementara itu disuruhnya penulisnya menuliskan apa yang diceritakan Abu Hurairah RA dari sebalik dinding. Setelah setahun berlalu, dipanggilnya Abu Hurairah RA kembali dan dimintanya membacakan lagi Hadis-hadis yang pernah ditanya setahun yang lalu dan telah ditulis setiausahanya.  Alangkah hebatnya apabila tiada yang terlupa oleh Abu Hurairah RA walau sepatah kata pun!

Maka Abu Hurairah pun lantas berkata, “Tidak ada seorang pun dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lebih banyak menghafal Hadis dari padaku, kecuali Abdullah bin ‘Amr bin’ Ash, kerana beliau pandai menuliskannya sedangkan aku tidak.” Imam Syafi’e mengemukakan pula pendapatnya tentang Abu Hurairah RA, “Beliau seorang yang paling banyak menghafal di antara seluruh perawi Hadis sesamanya.” Sementara Imam Bukhari pula menyatakan, “Ada lapan ratus orang atau lebih dari sahabat tabi’in dan ahli ilmu yang meriwayatkan Hadis dari Abu Hurairah RA.”

Demikianlah Abu Hurairah RA yang tidak ubah bagai suatu perpustakaan besar yang telah ditakdirkan Allah kemasyhurannya.

 

Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 1)

Kisah Abu Hurairah RA.

Abu Hurairah atau nama sebenarnya Abdurrahman mendapat jolokan tersebut disebabkan beliau terlalu sangat sukakan kucing. Abu Hurairah itu sendiri membawa maksud “Si Bapa Kucing Kecil”. Tokoh ini selalu berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan Qamariah (bulan Arab dalam Hijriah), mengisi malam harinya dengan membaca Al-Quran dan solat tahajud. Beliau akrab dengan kemiskinan, dia sering mengikatkan batu ke perutnya, beliau menggunakannya bagi menahan lapar.

Dalam sirah beliau terkenal sebagai individu yang paling banyak meriwayatkan hadis. Pada waktu jahiliyah nama asal beliau adalah Abdu Syamsi ibn Shakhr Ad-Dausi, dan tatkala ia memeluk Islam, ia diberi nama oleh Rasulullah SAW dengan Abdurrahman. Beliau sangat penyayang kepada binatang dan mempunyai seekor kucing, yang selalu diberinya makan, dipegangnya, dibersihkannya dan diberinya tempat tidur. Kucing itu juga suka bersembunyi dalam baju beliau. Kucing itu selalu mengikutinya seolah-olah bayang-bayangnya. Inilah sebabnya ia diberi gelar “Si Bapa Kucing”.

Penghafaz Hadis Terbesar Sepanjang Zaman

al quran

Sahabat Nabi ini mempunyai bakat luar biasa dalam kemampuan dan kekuatan daya ingatan. Abu Hurairah RA mempunyai kelebihan untuk menangkap apa sahaja yang didengarnya dan mempunyai keistimewaan dari segi menghafal dan menyimpan. Beliau mendengar, menghadam dalam fikirannya lalu terpateri dan lekat terus dalam ingatannya hingga dihafal semuanya. Hampir tidak pemah beliau melupakan satu kata atau satu huruf pun dari apa yang telah didengarnya, sekalipun usia bertambah dan masa pun telah berlalu. Oleh kerana itulah, beliau telah mewakafkan hidupnya untuk lebih banyak mendampingi Rasulullah sehingga beliau termasuk sebagai orang yang terbanyak menerima dan menghafal Hadis, serta meriwayatkannya.

Sewaktu datang golongan pemalsu-pemalsu hadis yang dengan sengaja membuat hadis-hadis palsu yang seolah-olah berasal dari Rasulullah SAW, mereka memperalatkan nama Abu Hurairah RA dan menyalahgunakan kemasyhuran nama beliau dalam meriwayatkan Hadith dari Nabi SAW, hingga sering mereka mengeluarkan sebuah “hadis”, dengan menggunakan kata-kata: – “Berkata Abu Hurairah …”

Perbuatan ini menyebabkan kemasyhuran Abu Hurairah RA dan kedudukannya sebagai penyampai Hadis Nabi SAW mula menjadi keraguan. Namun begitu, Abu Hurairah RA berjaya menangkis segala pemalsuan dan penambahan-penambahan yang sengaja dibuat oleh perosak agama Islam, dengan mengkambing hitamkan Abu Hurairah RA dan membebankan dosa dan kejahatan mereka kepadanya.

Abu Hurairah RA merupakan salah seorang yang mampu membawa kita ke zaman kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Kisah hidup beliau boleh menjadi inspirasi, dari hidupnya sebagai orang upahan sehinggalah menjadi majikan. Ini semua disebabkan ketinggian ilmunya dan kematangan fikirannya.

Dari seorang yang meminta-minta di tengah-tengah lautan manusia, menjadi imam dan ikutan! Dan dari seorang yang sujud di hadapan batu-batu yang disusun, menjadi orang yang beriman kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Beliau pernah berkata: “Aku dibesarkan dalam keadaan yatim, dan pergi hijrah dalam keadaan miskin. Aku menerima upah sebagai pembantu pada Busrah binti Ghazwan demi untuk mengisi perutku! Akulah yang melayani keluarga itu bila mereka sedang menetap dan menunggang binatang tunggangannya. Sekarang inilah aku, Allah SWT telah menikahkanku dengan puteri Busrah, maka segala puji bagi Allah yang telah menjadikan Agama ini tiang penegak, dan menjadikan Abu Hurairah RA ikutan ummat Islam”

Islamnya Abu Hurairah

Jika dibandingkan dengan Nabi, umurnya lebih muda sekitar 30 tahun. Beliau lahir di Daus, sebuah desa miskin di padang pasir Yaman. Hidup di tengah kabilah Azad dan beliau sudah yatim sejak kecil serta membantu ibunya menjadi penggembala kambing.

Beliau telah datang kepada Nabi SAW pada tahun yang ke tujuh Hijrah sewaktu beliau berada di Khaibar dan telah memeluk Islam kerana dorongan kecintaan dan kerinduan kepada keindahan agama Islam. Semenjak bertemu dengan Nabi SAW; dan berbai’at kepada baginda, beliau menggunakan keseluruhan waktunya mendampingi baginda kecuali pada waktu tidur. Begitulah selama 4 tahun yang dilaluinya bersama Rasulullah SAW yakni sejak memeluk islam sehinggalah wafatnya Nabi SAW. Boleh diibaratkan seperti: “Waktu yang empat tahun itu tidak ubah bagai suatu usia manusia yang panjang lebar, penuh dengan segala yang baik, dari perkataan, sehinggalah kepada perbuatan dan pendengaran”.’

Pada waktu itu memang terdapat para sahabat Nabi  yang pandai menulis, tetapi jumlah mereka sedikit sekali dan sebahagiannya tidak berkesempatan untuk mencatat Hadis-hadis yang diucapkan oleh Rasulullah SAW.

[Bersambung di “Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 2)”]

Abu Thalhah Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abu Thalhah  Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 1)”]

Kemudian, Abu Bakar pun menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ketika berada di Gua Hira’ sehingga turunnya ayat pertama. Lantas Abu bakar pun mengajak Thalhah untuk memeluk Islam. Diringkaskan cerita, selepas Abu Thalhah pula menceritakan tentang pertemuannya dengan seorang pendita  sewaktu di Bushra, lalu Abu Bakar pun tercenganglah dan kemudian Abu Bakar mengajak Thalhah untuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu menceritakan segala apa yang berlaku. Maka di hadapan Rasulullah s.a.w. juga Abu Thalhah telah mengucap dua kalimah syahadah.

Pengislaman Abu Thalhah mendapat tentangan hebat daripada kaum keluarganya. Mereka berusaha untuk mengeluarkan Thalhah daripada Islam dengan pelbagai cara dan penyiksaan yang amat pedih. Namun demikian, disebabkan  keimanannya yang sangat kukuh dan teguh, Abu Talhah tetap tidak berganjak dengan keputusannya.

harta

“Thalhah Si Pengalir Harta,” itulah jolokkannya.

Selain daripada seorang yang hebat di medan perang, Abu Thalhah juga dikenali sebagai seorang yang dermawan. Sikapnya patut dicontohi dan diteladani oleh semua. Sepanjang keislamannya sejak dari awal beliau memeluk Islam, beliau tidak pernah memungkiri janji, berkhianat dan menipu. Sikapnya yang jujur itu menyebabkan dirinya  disenangi oleh teman-teman. Ini diakui sendiri oleh sahabatnya yang bernama Jaabir bin Abdullah. “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih dermawan selain daripada  Thalhah, walaupun tidak diminta. Oleh kerana itu, maka ia telah diberi gelaran “Thalhah si Dermawan,”  “Thalhah si Pengalir Harta,” Kemudian Assaid bin Zaid juga turut berkata tentang Abu Thalhah. Katanya, “Aku berkawan dengan Abu Thalhah, baik dalam perjalanan ataupun sewaktu sedang bermukim. Aku melihat tidak ada seorang pun yang lebih dermawan dari dirinya terhadap kaum muslimin. Beliau sanggup mendermakan wang, makanan dan pakaiannya,” demikianlah ujar Assaid.

Sebagai seorang pedagang yang hebat, pada suatu petang Abu Thalhah telah mendapat untung yang banyak ketika berniaga di Hadramaut. Keuntungan yang diperolehinya itu adalah kira-kira sebanyak    700 000 dirham. Hal itu telah membuatkan Abu Thalhah menjadi bimbang pada malam harinya sehingga menyebabkan beliau tidak boleh lena kerana memikirkan tentang wang yang berada ditangannya. Maka bertanyalah isterinya, mengapa beliau begitu gelisah dan adakah mereka telah membuat apa-apa kesilapan terhadapnya. Setelah diberitahu oleh Abu Thalhah akan hal yang sebenarnya, maka fahamlah si isteri lalu mencadangkan agar Abu Talhah menginfakkan wang yang dimilikinya itu kepada fakir-fakir miskin dan orang susah dalam kalangan Muhajirin dan Ansar agar dapat membantu mereka. Wang itu kemudiannya dimasukkanlah ke dalam uncang-uncang yang besar dan kecil lalu diagih-agihkannya kepada golongan-golongan yang memerlukan.

Selain daripada mengagih-agihkan wangnya, Abu Thalhah juga turut membantu seorang lelaki yang datang kepadanya untuk meminta pertolongan. Dengan rasa simpati terhadap lelaki itu, Abu Thalhah pun berkata, “Aku mempunyai sebidang tanah pemberian Usman bin Affan kepadaku. Tanah itu berharga tiga ratus ribu. Sekiranya engkau suka, ambillah tanah itu atau aku beri kepadamu wang  tiga ratus ribu dirham?” lalu, lelaki itu pun menjawab, “Biarlah aku mengambil wangnya sahaja.” Maka Abu Thalhah pun menghulurkan wang sejumlah tiga ratus ribu dirham kepada lelaki itu. Begitulah sifat terpuji dan keperibadian milik Abu Thalhah bin Ubaidillah yang juga digelar sebagai “Assyahidul hayy” iaitu yang bermaksud Syahid Yang Hidup kerana  jasa bakti dan perjuangannya yang amat besar dalam menegakkan Islam di Medan Uhud.

Abu Thalhah telah wafat pada usia 60 tahun (36 Hijrah,bersamaan 665 Masihi) dan beliau telah gugur di medan perang sebagai syahid lantaran terkena panah sewaktu peperangan “al-Jamal.

Abu Thalhah Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 1)

Siapakah Abu Thalhah?

Beliau adalah salah seorang diantara sepuluh sahabat Nabi yang dijamin masuk ke Syurga oleh Allah SWT. Nama penuhnya ialah Thalhah bin Ubaidillah bin Usman bin Ka’ab bin Sa’ad. Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi yang berbangsa Quraisy. Abu Thalhah telah memeluk Islam  dengan perantaraan Abu Bakar As-Siddiq  Radiallahu ‘anhu.

Peniaga Kain yang Bijak dan Berilmu.

Abu Thalhah merupakan seorang saudagar yang kaya-raya. Memiliki pelbagai  keistimewaan dan strategi tersendiri dalam perniagaan. Beliau adalah seorang peniaga kain. Selain daripada berniaga kain, Abu Thalhah juga memiliki  banyak ladang Anggur, kebun kurma dan hamba.  Hasil daripada perniagaannya itu beliau berjaya memperolehi  pendapatan lebih daripada 1000 dinar setiap hari. Di samping itu,  Abu Thalhah juga dikatakan meninggalkan harta bernilai 300 bahar sedangkan satu bahar itu telah menyamai  dengan nilai pikulan seekor unta. Bayangkanlah betapa banyaknya harta beliau. Abu Thalhah adalah seorang yang  gigih berusaha. Beliau seorang yang amat berdikari dan tidak gemar bergantung kepada orang lain. Walaupun usianya masih muda, namun kepintarannya telah dapat mengalahkan pedagang-pedagang lain yang lebih tua darinya.

Perihal Keislamannya.

peta syam

Ketika suatu hari Thalhah dan rombongannya pergi ke Syam dan sesampai sahaja di Bushra, Abu Thalhah telah dikejutkan oleh suatu peristiwa yang sangat menarik dan lantas mengubah perjalanan hidupnya. Sewaktu di sana, Abu Thalhah melihat seorang pendita berteriak-teriak sambil berkata

  • “Wahai para pedagang, adakah di antara tuan-tuan ini yang berasal dari Kota mekah?”
  • lalu, Thalhah pun menyahut “Ya, saya penduduk mekah!” katanya kepada pendita itu.
  • Kemudian sang pendita itu bertanya lagi, “Sudah munculkan seorang di antara kalian orang yang bernama Ahmad?”
  • maka bertanyalah Abu Thalhah kepada pendita itu, “Ahmad yang mana?”
  • lantas sang pendita pun membalas, “Ahmad bin Abdullah bin Abdul Muthalib. Bulan ini ia pasti akan muncul sebagai Nabi penutup para Nabi. Kelak ia akan berhijrah dari negerimu ke negeri berbatu-batan hitam yang ada banyak pohon-pohon kurma. Ia akan berpindah ke negeri yang subur dan makmur, memancarkan air dan garam. Sebaiknya, segeralah engkau pergi menemuinya, wahai anak muda,” sambung pendita itu lagi.

Mendengarkan ucapan pendita itu, ia sangat memberi kesan di hati Abu Thalhah. Lantas, tanpa menghiraukan kafilah dagang yang berada di pasar, beliau bergegas pulang ke Kota Mekah.
Sebaik sahaja tiba di Mekah, Abu Thalhah terus bertanya kepada keluarganya.

  • “Adakah berlaku apa-apa peristiwa sepanjang peninggalanku?”
  • lalu keluarganya pun menjawab “Ada. Muhammad bin Abdullah telah mengatakan bahawa dirinya adalah Nabi dan Abu Bakar pula telah mempercayai dan mengiyakan apa yang dikatakan oleh Muhammad.”
  • Dengan yakin Thalhah pun berkata, “Aku kenal Abu Bakar. Kami bersahabat baik. Beliau seorang yang penyayang, berlapang dada dan lemah lembut. Beliau seorang pedagang yang teguh pendirian dan berbudi tinggi. Banyak orang yang menyukai majlisnya, kerana beliau seorang ahli sejarah Quraisy,” ujar Thalhah.
  • Sejurus itu, Abu Thalhah lantas pergi mencari Abu Bakar dan bertanya, “Benarkah Muhammad bin Abdullah telah menjadi Nabi dan engkau mengikutinya?”
  • maka jawab Abu Bakar dengan jujur, “Ya, benar!”

[Bersambung di “Abu Thalhah  Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 2)”]

Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 1)”]

Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Antara fitnah yang disebarkan adalah, beliau dituduh merancang untuk membunuh Muhammad Bin Abu Bakar, yang telah dilantiknya sebagai Gabenor. Ini kerana mereka menjumpai surat yang menyatakan niat beliau untuk membunuh.

Sasaran fitnah yang keji itu datang dari Mesir sebenarnya dan dipenuhi dengan tuduhan-tuduhan palsu. Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan mereka.

Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnahnya dan telah menjalankan rancangan jahat mereka. Di antara mereka, ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu daripada sahabat terkemuka yang memburukkan Uthman. Mereka menuntut agar Uthman dibunuh. Sebahagian besar umat Islam di ketika itu termakan hasutan syaitan berbaur fitnah tersebut hingga terjadi huru-hara. Khalifah  Uthman akhirnya terkepung selama satu bulan di rumahnya. Peristiwa itu dikenali sebagai “Al-Fitnah al-Kubra” yang pertama, telah merobohkan akhlak dan kepercayaa umat Islam dari terus bersatu.

Akibat salah faham dan fitnah yang disebarkan, sebahagian daripada kaum muslimin telah berniat untuk membunuh beliau. Kemudian mereka menjalankan penyiasatan untuk menyelesaikan masalah fitnah yang disebarkan dan terbongkarlah rahsia, bahawa salah seorang daripada ahli keluarganya yang hernama Marwan Bin Al-Hakkam yang mana, juga pembantunya, telah menulis surat yang mengakibatkan salah faham itu. Lalu, mereka meminta Khalifah Uthman menyerahkan Marwan namun dia tidak bersedia melakukannya.

Lalu, mereka mengepung rumah khalifah dan menghalang bekalan air ke rumahnya. Rumahnya dikepung selama 30 hari dan mula kedengaran berita ada orang ingin membunuhnya. Ali meminta anaknya, Hassan dan Hussain dan beberapa orang sahabat mengawal pintu rumah Khalifah Uthman daripada dicerobohi oleh pihak pemberontak Mesir.

Namun begitu, tiga orang pemberontak berjaya masuk ke dalam rumah Khalifah Uthman melalui atap rumah. Ghafiqi terus memukul Khalifah Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Khalifah Uthman tidak melepaskan al-Quran dari tangannya dan darah menitis dari mukanya lalu jatuh ke atas muka surat al-Quran yang terbiar, ternganga…

Kemudian Sudan pula menghampiri Khalifah Uthman, lalu dilibas pedangnya ke arah beliau namun Nailah (Isterinya pada masa itu), menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jarinya. Sudan yang bagai hilang pedoman, dan tidak lagi ada sekuis pun rasa peri kemanusiaan terus menetak Khalifah Uthman beberapa kali sehingga beliau gugur jatuh menyembah bumi, mati dalam penuh keimanan, syahid.

Najih, anak Khalifah Uthman terus menerkam ke arah Sudan lalu membunuhnya. Kemudian Qatirah, seorang lagi ahli pemberontak membunuh Najih. Para pemberontak cuba menganiaya mayat Khalifah Uthman pula, namun jeritan tangisan Nailah mengejutkan Hassan dan Husain yang mengawal di pintu hadapan membuatkan pemberontak melarikan diri.

Khalifah terkemuka dan saudagar yang berkorban demi membangunkan Islam itu, Uthman bin Affan, menghembuskan nafas terakhirnya sambil memeluk Al-Quran yang dibacanya. Beliau meninggal dunia pada 8 Zulhijah 35 Hijriah. Sejak itu, kekuasaan Islam semakin sering diwarnai oleh titisan-titisan darah merah, pekat, bergelumang hitam dan kelam.

pemerintahan

Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, dari tahun 644 sehingga tahun 656 Masihi yang mana ianya merupakan seorang pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa‘ ar-Rasyidin.

5 INTIPATI PENTING

  1. Beliau seorang yang tidak mementingkan diri sendiri kerana tidak pernah memikirkan kerugian perniagaannya yang ditinggalkannya sewaktu berhijrah.
  2. Banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah Negara sehingga dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi.
  3. Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, yang mana ianya merupakan pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa‘ ar-Rasyidin.
  4. Peristiwa “Al-Fitnah al-Kubra”, merupakan titik permulaan peristiwa yang menyayat hati.
  5. Cubaan bunuh oleh pemberontak dan wafat pada 8 Zulhijah 35 Hijriah.