8 Perkara Haram Dalam Berniaga! (Bahagian 2)

[Bersambung dari “8 Perkara Haram  Dalam Berniaga! (Bahagian 1)”]

5. Larangan membeli barang yang dirampas tanpa hak, dicuri atau diragut.

Sememangnya Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk aktiviti perniagaan. Namun demikian, Islam melarang sama sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan seumpamanya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Barang siapa membeli barangan curi, sedang ia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) pada aib dan dosanya.”

Masalah ini adalah sama dengan keadaan orang yang menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual senjata kepada orang yang ia tahu akan menggunakannya untuk memudaratkan orang Islam. Jual beli dalan situasi seumpama ini adalah haram kerana ianya seumpama menolong ke arah berbuat dosa sekaligus membawa kepada kerosakan akhlak dan membantu kepada tersebar luasnya perkara yang keji dan hina seumpama fitnah dan sebagainya.

6. Memonopoli barangan (ihtikar).

Memonopoli barangan keperluan awam juga adalah salah satu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti beras, minyak, gula dan seumpamanya, biasanya dibuat oleh para peniaga agar barangan keperluan berkurangan di pasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan cara  itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang lebih banyak dan berlipat kali ganda. Perbuatan yang terkutuk ini adalah dilarang sama sekali dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan dan kesulitan kepada masyarakat awam, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan golongan miskin.

Dalam satu hadis Rasullah s.a.w. bersabda;

Maksudnya: Dari Ma’mar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.

Hikmah perbuatan monopoli ini diharamkan adalah bagi menolak kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum.

7. Haram menjual najis.

Telah berlaku Ijma’ di kalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti babi, anjing, bangkai, dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan najis ini kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan dan kerosakan di muka bumi.

Dari Jabir bin Abdullah katanya, ia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.

timbangan

8. Larangan mengurangkan kadar timbangan dan sukatan.

Islam menuntut para peniaga untuk bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai cara tipu helah seperti, mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan ini adalah dilarang dan sangat tercela dalam Islam. Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini,  Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah Al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya:

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.

Terdapat banyak ayat yang memerintah kita supaya sukatan dan timbangan disempurnakan dalam perniagaan. Antaranya firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 35, mafhumnya:

dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).

Dalam surah al-Isra’ tersebut, Allah SWT turut menjanjikan kesan dan kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berbuat demikian. Namun begitu, wajar diingatkan bahawa sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan azab dari Allah SWT, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib.

Demikianlah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti perniagaan. Kesemua tegahan dan larangan yang disebutkan di atas cukup mencerminkan kesempurnaan syariat Islam. Semua perkara yang diharamkan ini adalah perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada manusia. Sekiranya semua manusia bepegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

The following two tabs change content below.
Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

About Irfan Khairi

Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

One thought on “8 Perkara Haram Dalam Berniaga! (Bahagian 2)

Leave a Reply

Your email address will not be published.