Abdul Rahman Bin Auf Tangisi Kekayaan Duniawi (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abdul Rahman Bin Auf Tangisi Kekayaan Duniawi (Bahagian 1)”]

Beliau juga mempunyai semangat jati diri yang kental, yang membolehkan beliau menghadapi segala aral melintang. Beliau telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w dengan Saad Ibnu Rabi’e seorang bangsawan dan jutawan Madinah (Al-Ansar). Namun beliau tidak mengambil kesempatan dan peluang untuk membolot harta kekayaan saudaranya sekalipun beliau mendapat tawaran lumayan termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya.

Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya di mana terletaknya pasar untuk beliau memulakan perniagaan dengan keringat dan semangat berdikari yang gigih. Sungguh beliau memang seorang pedagang yang berbakat dan pintar. Dalam sekejap masa, beliau berjaya menunjukkan kehebatannya dalam berdagang hingga berjaya memperolehi harta yang banyak. Beliau mempunyai 100 ekor kuda yang dapat dipergunakan dalam peperangan, 100 ekor unta, dan 10,000 ekor kambing sehingga diwaktu beliau meninggal, tatkala dihitung seperempat daripada kekayaannya, menyamai jumlah 84 ribu dinar.

Akan tetapi di samping kekayaannya yang melimpah, beliau termasuk orang yang paling dermawan dan paling pemurah juga merupakan seorang tokoh sahabat yang paling banyak berbuat kebajikan terhadap kaum fakir miskin. Malah, beliau juga seorang yang berdikari dan tidak suka bergantung kepada orang lain sehingga beliau menjadi peniaga yang disegani. Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdul Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang. Sabda Rasulullah saw :

  • “Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri.” – Riwayat Bukhari

Bukan itu sahaja, beliau merupakan seorang yang tidak mengikut cara pemikiran “Fikrah Maadiyyah (Kebendaan).” Mereka yang terpengaruh dengan fahaman maadiyyah hanya akan memikirkan soal dunia semata-mata.

Renungi ungkapan ulama’ sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani :

  • “Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah sesuatu yang keji.”

Di samping memiliki kekayaan yang melimpah-ruah beliau adalah seorang yang takut dan benci kepada harta kekayaan dan selalu menghindarkan diri daripada pengaruh kekayaannya. Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hari, Abdul Rahman Bin Auf menangis tersedu-sedu lalu ia ditanya orang apakah yang menyebabkan beliau menangis, lalu dijawabnya…

Sesungguhnya Mas’ab adalah lebih baik daripadaku kerana ia meninggal dunia di zaman Rasul dan sewaktu meninggal dunia ia tidak memiliki walau sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membungkusnya. Sesungguhnya Hamzah Bin Muttalib juga adalah manusia yang lebih utama daripada saya, padahal ia tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Saya khuatir saya ini termasuk di antara orang yang dipercepat untuk menikmati kebahagiaan dunia dan saya khuatir akan tersisih daripada para sahabat Nabi di akhirat kelak disebabkan mempunyai banyak harta.

Inilah antara sifat-sifat yang patut dijadikan teladan oleh setiap orang yang inginkan kejayaan, di dunia mahupun akhirat.

5 CIRI-CIRI USAHAWAN BERJAYA

usahawan berjaya

  • Sifat yang amanah dalam melakukan semua pekerjaan.
  • Peribadi yang soleh dan taat pada perintah Allah.
  • Harus mempunyai semangat jati diri yang kental.
  • Seorang yang berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.
  • Tidak terlalu kebendaan, dan rakus mengejar kekayaan.     
The following two tabs change content below.
Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

About Irfan Khairi

Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

One thought on “Abdul Rahman Bin Auf Tangisi Kekayaan Duniawi (Bahagian 2)

  1. Semoga kita semua berjaya mencontohi ciri-ciri usahawan berjaya yang di kongsi Dr. Dunia hari ini penuh dengan pancaroba dan sukar berjumpa dengan usahawan yang punyai ciri-ciri begini

Leave a Reply

Your email address will not be published.