Istidraj (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Istidraj (Bahagian 1)”]

Mungkin anda sendiri pernah melihat dalam kehidupan seharian kita, mungkin ada sesetengah orang yang anda kenali yang berjaya walaupun hidupnya hanya bersandarkan perniagaan yang melibatkan rasuah dan penipuan, bisnesnya mengaut keuntungan yang berlipat ganda, tetapi pada suatu masa ALLAH telah menarik kembali kenikmatan yang diberikannya.

Sebagai contoh, FIRAUN :

Kisah yang paling mudah untuk kita renungkan kembali, adalah kisah Firaun, nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, jauh sekali bersin. Semuanya kerana Allah beri nikmat kesihatan – Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia belum menemui ajalnya, sampai dia begitu angkuh dan meninggi diri, malah zalim dan menyeksa sesama manusia sehingga melampaui batas-batas peri kemanusiaan.

Semuanya kerana beliau merasakan dan mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah juga Allah binasakan dia, dengan merentap kekuasaannya dan menenggelamkan dia dan bala tenteranya di Laut Merah.

Istidraj

Contoh seterusnya, Qarun :

Kita selalu menyebut ‘Harta Karun’ – Istilah itu mungkin bermulanya dengan kisah si Qarun yang banyak harta. Qarun adalah antara yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. Di awal kehidupannya, beliau amat miskin dan mempunyai ramai anak. Namun dia berhati mulia lagi dermawan terhadap golongan faqir miskin.

Lantaran itu, dia pernah memohon Nabi Musa berdoa kepada Allah agar diberikan kekayaan supaya dapat dia membantu mereka yang miskin. Permintaan tersebut dimakbulkan Tuhan. Harta Qarun kini melimpah ruah, gudangnya dipenuhi dengan emas dan perak. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja dibawa oleh ramai orang-orang kuat dan beberapa ekor keldai.

Meskipun begitu Qarun telah lupa daratan dan kufur dengan nikmat Allah yang diberikan kepadanya. Di saat Nabi Musa datang kepadanya dan memohon sedikit pertolongan untuk membantu golongan miskin, Qarun telah membentak dengan mengatakan harta itu hanya untuknya kerana ia hasil dari penat lelahnya sendiri dan bukan untuk dikongsikan!

Lalu dia menerima azab kemurkaan Allah, ditenggelamkan bersama-sama harta bendanya ke dalam tanah di sebuah kawasan yang terletak dalam daerah al-Fayyum, Mesir yang juga dikenali sebagai Danau Qarun. Jadi walaupun kita kaya, jangan sangka kerana Allah sayangkan kita, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

DI SEBALIK KEKAYAAN

Jika difikirkan betul-betul, maka terjawablah keraguan yang mengganggu akal fikiran. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang dan mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya, rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya.

Fahamilah, jika orang yang membuat berbagai kejahatan, maksiat, zina, mabuk, meninggalkan solat, tidak puasa, dan apa sahaja yang bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi ALLAH tetap berikannya nikmat kesihatan, kekayaan, dan kejayaan kemudian riak dan takbur pula, mungkin sebenarnya dia telah diistidrajkan oleh ALLAH S.W.T. – Mungkin semakin banyak harta dan kekayaannya itu, semakin banyaklah pula dosa-dosa yang dikumpulnya.

TIDAK SEMUA BEGITU…

Namun, janganlah pula tersalah anggap. Apabila melihat orang kaya, bawa kereta besar-besar, terus sahaja kita kata mereka itu orang jahil, kufur, lupa daratan dan telah diistidraj! – Tidak semestinya semua orang begitu.

Alhamdulillah di Malaysia ini masih ramai golongan berada yang kuat pegangan agamanya, jutawan-jutawan juga masih ramai yang terus menerus berbakti ke jalan Allah. Telah ramai yang meninggalkan kebatilan dan melakukan kebaikan. Malah, jika hendak disebut tak terbilang ramainya orang-orang kaya yang suka menderma untuk pembinaan masjid, memberi bantuan pada rumah orang-orang tua dan anak-anak yatim serta mengusahakan berbagai yayasan demi membantu mereka yang kurang upaya.

Yang penting bagi kita yang berjalan di atas landasan yang benar dan hidup dalam cahaya Islam serta mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan, janganlah berputus-asa jika menghadapi kegagalan. Cuba…dan cuba lagi sampai anda berjaya kerana ALLAH itu MAHA PEMURAH dan jika kita mendapat keredhaanNYA serta keberkatanNYA, maka tentunya segala urusan kita akan dipermudahkan dan usaha kita akan mendapat keuntungan. InsyaAllah.

Jauhi diri DARIPADA DIISTIDRAJ

  • Sentiasa merendahkan diri ketika berurusan dengan sesama manusia.
  • Sentiasa membelanjakan harta dalam berbakti ke jalan Allah.
  • Sentiasa taat pada perintah ALLAH.
  • Tabah menghadapi dugaan ALLAH dan tidak berputus-asa dari rahmatNya.
  • Sentiasa muhasabah diri.

 

The following two tabs change content below.
Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu insan menjalankan hidup yang lebih bahagia dan kaya melalui perniagaan. Untuk mendapatkan Irfan Khairi sebagai speaker atau ketahui program-program yang dikendalikan, hubungi 03-77292277 (save kan nombor ini) 😉

Latest posts by Irfan Khairi (see all)

About Irfan Khairi

Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu insan menjalankan hidup yang lebih bahagia dan kaya melalui perniagaan. Untuk mendapatkan Irfan Khairi sebagai speaker atau ketahui program-program yang dikendalikan, hubungi 03-77292277 (save kan nombor ini) ;)

3 thoughts on “Istidraj (Bahagian 2)

Leave a Reply

Your email address will not be published.