Salman Al-Farisi (Bahagian 1)

Salman Al-Farisi merupakan salah seorang sahabat karib junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.  Beliau adalah seorang tokoh yang sangat menyerlah daya kepimpinannya dan amat disayangi oleh Rasulullah s.a.w. lantaran keberanian, keikhlasan serta sifat zuhudnya terhadap kemewahan dan kehidupan duniawi.

Salman Al-Farisi

Nama penuh Salman Al-Farisi ialah Mabah bin Budzkhasyan bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani. Beliau berasal  daripada keluarga Zoroastrian yang begitu dihormati  dan disegani dari sebuah desa, iaitu Jayyan yang terletak berhampiran Kota Isfahan, Persia (Parsi). Bapanya adalah seorang  Dihqan (Ketua Kampung) dan juga merupakan orang terkaya yang memiliki rumah terbesar dan juga  kebun kurma yang sangat luas dan banyak hasilnya. Beliau amat disayangi oleh bapanya sehingga beliau telah ditempatkan di sebuah kuil agama Majusi sebagai  penjaga  api.

Pencarian yang panjang

Namun begitu, Salman tetap tidak merasa tenang dan aman dengan agama yang dianutinya sehingga berlaku pergolakkan jiwa  dalam dirinya, lantas mendorong beliau untuk mencari agama baru yang lebih baik dan boleh mendamaikan jiwanya. Dengan hidayah Allah SWT, beliau meneruskan pencarian dan pengembaraannya untuk mencari agama baru yang lebih baik dan menepati kehendak hatinya. Kisah perjalanan kehidupan Salman Al-Farisi untuk mendapatkan hidayah Allah SWT amatlah panjang.

Sebelum memeluk Islam, beliau asalnya adalah  seorang yang beragama Majusi, berbangsa Parsi dan kemudian memeluk agama Nasrani. Beliau sanggup pergi ke negeri  Syam dan kemudian ke Yathrib dan seterusnya ke Madinah, semata-mata untuk mencari kebenaran dalam agamanya. Sewaktu mula-mula  beliau memeluk agama Islam, beliau adalah seorang hamba, namun demikian Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan kepada para sahabat supaya memerdekakannya.

Salman Al-Farisi sangat terkenal sebagai seorang mukmin yang kuat beribadat, bersifat rendah diri dan tiada langsung tertarik dengan kehidupan dan kemewahan duniawi. Beliau amat terkenal dengan sifat taqwa dan zuhudnya. Beliau juga merupakan seorang tokoh sahabat nabi yang banyak meriwayatkan hadis-hadis  daripada Rasulullah s.a.w. kerana beliau adalah salah seorang sahabat yang banyak bergaul dengan baginda Rasulullah  s.a.w.  sendiri.

Pernah suatu ketika juga beliau  tinggal serumah, bersama dengan Abu  Darda’ yang terkenal sebagai seorang ahli sufi, yang mempunyai kebiasaan melakukan ibadah pada waktu malam dan shaum diwaktu siang. Oleh yang demikian Salman telah melarangnya dari keterlaluan beribadah seperti itu lantas menegur Abu Darda’ dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

“Sesungguhnya kedua matamu mempunyai hak atas dirimu, demikian pula keluargamu mempunyai hak atas dirimu, Di samping engkau shaum, berbukalah dan di samping melakukan solat tidurlah.”

Peristiwa ini  telah sampai  ke pendengaran Rasulullah s.a.w. maka baginda pun bersabda :

“Sungguh, Salman telah dipenuhi dengan ilmu.”

Sepanjang hayatnya, Salman Al-Farisi sempat menjalani kehidupan bermula daripada  zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah kepada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan, iaitu khalifah Islam yang ketiga. Baginda Rasulullah s.a.w. sering memuji-muji Salman Al-Farisi lantaran kecerdasan dan ketinggian ilmu yang dimilikinya, sebagaimana beliau memuji agama dan budi pekerti serta akhlaknya yang luhur,  ketika orang Anshar dan Muhajirin ingin mendapatkannya.

Rasulullah s.a.w. pun bersabda : “Salman adalah golongan kami, Ahlul Bait.” Demikianlah betapa kasihnya Rasulullah  s.a.w.  kepada Salman Al-Farisi.

[Bersambung di “Salman Al-Farisi (Bahagian 2)”]

The following two tabs change content below.
Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

About Irfan Khairi

Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published.