Hari ini saya mendapat email dari seseorang mengadu kesilapannya dalam pelaburan perniagaan. Beliau rugi RM15,000 – kena tipu!
Masalahnya, email dan juga pm sebegini memang saya selalu terima. Apa yang menyedihkan lagi, mereka yang menjadi mangsa tipu peluang perniagaan ini, bukanlah golongang orang yang sedia berada. Tetapi mereka yang susah juga, sehingga ada yang meminjam wang dari orang lain kerana ingin menyertai sesuatu peluang perniagaan tersebut.
Mangsa kali ini, telah rugi RM15,000 oleh kerana menyertai satu “peluang perniagaan” yang menjanjikan lumayan dengan pantas oleh seorang “founder”.
Saya pun bertanyakan padanya, apa yang membuatkan dirinya percaya dan melakukan bayaran RM15,000 itu?
Katanya, silap sendiri oleh kerana “founder” tersebut sering menunjukkan wang berkepuk-kepuk dan kereta mewah di media sosial.
Dirinya tertarik dengan “peluang kekayaan” yang ada dan juga desakan untuk menyertai program itu.
Tetapi, apa yang lagi membuatkan nya percaya untuk melabur adalah, kerana “founder” tersebut menggunakan nama Allah untuk memancing mangsanya.
Begitulah resminya manusia. Ada yang buta mata mengejar kekayaan dan mudah TERTIPU dengan janji wang dan harta.Begitu juga ada yang sanggup MENIPU dengan menggunakan nama Allah hanya untuk keuntungan sendiri.
Semoga kedua-duanya dijauhkan dari kita…
Seringkali ramai minta nasihat dan tip perniagaan dari saya. Bagaimana caranya untuk mulakan perniagaan?
Jawapan saya adalah pastikan dengan niat dan cara yang betul.
Kekayaan tidak akan datang begitu sahaja. Ia akan mengambil masa bertahun-tahun juga untuk berjaya.
Jangan ambil tindakan gelojoh dan buta mata pada janji-janji kejayaan yang ada diluar sana. Lakukan research dan penyelidikan tentang sesuatu peluang perniagaan. Kini, Google adalah dihujung jari.
Berbanyak tanya pada mereka yang berpengalaman dalam perniagaan kemudian ikut gerak hari sendiri dan bukan desakan orang lain.
Memang sukar untuk tahu sama ada sesuatu peluang itu betul ataupun sekadar SCAM semata-mata. Pastinya orang yang menipu juga licik dan pandai menipu.
Sedangkan baru-baru ini saya pernah terbaca kisah seorang scammer yang menipu sebuah bank untuk berikannya bermillion dollar melabur pada lapangan terbang (yang tak wujud)! Sedangan bank pun boleh kena tipu. Apatah lagi kita sebagai individu.
Mungkin salah satu peringatan kepada diri kita sendiri adalah, jangan terlalu mengejar harta kekayaan. Bila mata dibutai dengan wang ringgit dan harta, di situlah seseorang itu akan mudah tertipu.
Mulakan dengan perniagaan kecil terlebih dahulu. Jangan sehingga keluarkan modal berpuluh ribu ringgit yang diri sendiri pun terasa terbeban. Ada banyak peluang perniagaan yang menggunakan modal yang sangat rendah untuk bermula. Teralu banyak pilihan jika anda tahu caranya.
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021