Ramai yang tanya pada saya, bagaimana Internet boleh membantu perniagaan bukan Internet mereka. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mempunyai spa, kedai dobi, kedai buku, kedai jual nasi ayam atau apa sahaja kedai yang mempunyai kehadiran fizikal (bricks & mortar), adakah Internet dapat membantu menambahkan keuntungan perniagaan tersebut?
Jawapan saya, sudah tentunya YA!
Berikut adalah beberapa contoh penggunaan media Internet dalam membantu usahawan-usahawan yang memiliki kedai fizikal :
Laman web
Bayangkan sekiranya anda seorang agen insurans, atau agen MLM, atau agen hartanah, dalam masa sehari berapa ramai prospek anda boleh jumpa? Mungkin secara kasar, 3 atau 4 prospek sehari. Jumpa dua prospek sebelah pagi, dan dua lagi sebelah petang pula.
Langkah utama dalam mempunyai kehadiran di Internet adalah dengan memiliki laman web sendiri. Pengguna Internet Malaysia kini lebih dari 20 juta orang. Dengan penggunaan Internet yang amat tinggi, tidak mustahil untuk mendapat 100-200 pelawat, melawat laman web anda setiap hari (atau lebih!). Dan, lagi menyenangkan anda, anda tidak perlu keluar dari rumah!
Dengan menyediakan laman web, anda boleh meletakkan segala maklumat atau presentation perniagaan anda. Pelawat akan melawat laman web anda dan mempelajari segalanya berkaitan dengan perniagaan anda. Memiliki laman web asas akan memudahkan prospek untuk mengetahui maklumat perniagaan anda dan mereka tidak perlulah pergi ke kedai anda untuk mempelajari apa yang anda sediakan.
BLOG
Blog, kini menjadi trend semasa di mana sesiapa sahaja boleh mempunyai kehadiran online secara mudah. Blog boleh menjadi tempat sesiapa sahaja menulis pendapat mereka mengenai apa sahaja isu yang diinginkan. Daripada hobi, ke politik hinggalah ke agama.
Penggunaan blog boleh juga membantu sesuatu perniagaan dalam merapatkan lagi pengguna tersebut dengan pemilik perniagaan. Anda boleh melihat contoh blog saya ini IrfanKhairi.com di mana saya memberi tip-tip perniagaan, kewangan dan motivasi. Di samping itu, blog digunakan untuk memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan Irfan Khairi Sdn Bhd kepada pelawat blog.
Seperti contoh sebelum ini, ianya tidak mustahil mendapat 100-200 orang pelawat blog anda setiap hari. Blog IrfanKhairi.com pula menerima lebih daripada 2,000 pelawat sehari. Tidak berdaya saya untuk pergi berjumpa 2,000 prospek dalam masa sehari, tetapi kehadiran blog saya itu telah membolehkan 2,000 prospek mengetahui tentang Irfan Khairi Sdn Bhd setiap hari.
Fikirkan bagaimana blog boleh membantu perniagaan anda. Bergantung kepada perniagaan anda, anda boleh membina blog yang memberi tip-tip menarik berkaitan dengan perniagaan anda untuk manfaat orang ramai.
Sekiranya anda ingin memulakan perniagaan melalui Internet atau membawa perniagaan and ake Internet, sertai Program Intensif Perniagaan Inetrnet dan Strategi Media Sosial bersama saya, yang akan bermula tidak lama lagi. Klik di sini untuk maklumat lanjut.