3 Cara YAKINKAN DIRI untuk mulakan perniagaan

Keyakinan diri memang diperlukan dalam memulakan perniagaan. Lebih-lebih lagi bagi kita yang tidak mempunyai pengalaman memulakaan perniagaan, atau yang pernah gagal dalam perniagan.

Dalam apa sahaja buku motivasi kejayaan, sering ditekankan untuk mempunyai keyakinan diri sebagai langkah pertama. Tanpa keyakinan diri, semuanya tidak menjadi. Begitu juga dengan perniagaan.

Berikut adalah 3 tip cara meningkatkan keyakinan diri untuk memulakan perniagaan…

1. Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain

Sering kali kita melihat kejayaan orang lain, dan kita merasa diri kita kecil dan tidak mampu capai kejayaan seperti mereka. Mana taknya, tambahan di zaman media sosial kini, pelbagai kisah kejayaan dipaparkan di media sosial.

Gaya hidup mereka yang bergelar “usahawan” umpama gaya hidup yang hebat dan sempurna. Maklumah, resmi media sosial, itulah yang sering di war-warkan dan ditunjukkan.

Kisah kegagalan, kesedihan, kesusahan ketika menghadapi cabaran perniagaan sangat kurang dikongsikan. Apa yang kita sering lihat adalah kejayaan, dan segalanya sempurna.

Sekiranya ini memberi inspirasi kepada kita, maka tidak mengapa.

Tetapi, sebaiknya, jangan dibandingkan. Manusia mempunyai bakat, kebolehan, sumber yang berbeza. Bandingkan diri kita dengan diri kita sendiri. Perbaiki diri kita supaya lebih baik dari semalam, bulan lepas dan tahun lepas.

Usaha untuk perbaiki diri sendiri sahaja. Sekiranya ingin mulakan perniagaan, apa kata mulakan sahaja dan timba ilmu dan pengalaman untuk diri sendiri. Usah dibandingkan dengan orang lain.

2. Sentiasa fikir positif!

Satu ketika dulu, ketika saya masih lagi muda, saya TIDAK MAHU jadi kaya!

Ini kerana, saya sering kaitkan orang “Kaya” sebagai sesuatu yang jahat, atau berdosa, atau tidak baik. Maklumah, sejak kecil lagi sering menonton TV watak-watak jahat semuanya orang kaya sahaja. Mana taknya, sedangkan filem P Ramlee juga, watak-watak jahat adalah orang kaya.

Oleh kerana pemikiran negatif ini, membuatkan saya tidak yakin dan tidak mahu memulakan perniagaan dan berjaya.

Sehingga saya mula kaitkan perkara-perkara positif mengenai perniagaan, kejayaan, dan kekayaan, ketika itulah baru saya mula berani dan yakin untuk mulakan perniagaan.

Fikirkan, apakah perkara-perkara negatif yang menghalang anda dari mulakan perniagaan? Adakah takut gagal? Takut tiada masa? Takut apa pula orang kata? Takut tidak mendapat sokongan? Dan sebagainya…

Buangkan fikiran-fikiran ini jauh-jauh. Berdamping bersama mereka yang lebih positif dan mereka yang mempunyai matlamat yang sama, iaitu memulakan perniagaan. Ini pasti akan memberi anda pemikiran yang lebih positif lagi untuk bermula!

3. Punyai matlamat dan visi yang jelas

Sekiranya matlamat anda samar-samar, keyakinan juga akan turut samar-samar.

Punyai matlamat dan visi yang sangat jelas.

“Saya ingin mulakan perniagaan”

Matlamat ini tidak cukup. Ianya tidak jelas dan agak subjektif.

Tetapi, cuba letakkan matlamat dan visi yang lebih jelas seperti:

“Saya ingin mulakan perniagaan menjual produk kesihatan melalui internet, dan selepas 6 bulan ingin menjana pendapatan RM10,000 setiap bulan!”

Matlamat sebegini adalah lebih tepat dan jelas!

Mempunyai matlamat yang lebih jelas akan memberi keyakinan kepada diri kita sendiri sekiranya kita sering fikirkan dan ulangkan matlamat tersebut dalam kepada kita.

Ianya seakan-akan memberi hala tuju dan sasaran untuk kita fokus pada usaha kita. Apa yang kita perlu lakukan seterusnya adalah…

BERMULA!

Keyakinan diri bukanlah sesuatu yang dimiliki secara semulajadi pada semua orang. Sesetengah kita memang sedia mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mungkin dari cara kita membesar.

Seperti saya, saya seorang yang pemalu, pendiam, dan tidak mempunyai keyakinan diri satu ketika dulu. Tetapi, apabila langkah demi langkah, dan sedikit demi sedikit memperbaiki diri saya sendiri, keyakinan diri pun datang!

The following two tabs change content below.
Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

About Irfan Khairi

Jutawan Internet, Irfan Khairi adalah seorang penulis, personaliti TV/Radio dan juga international speaker. Irfan Khairi telah menubuhkan Irfan Khairi Sdn Bhd yang telah berjaya melahirkan beratus ribu usahawan online berjaya. Kini, beliau menjalankan perniagaan di Dubai dan berulang alik Kuala Lumpur - Dubai menajalankan penriagaan di dua benua. Untuk daftar program bersama Irfan Khairi, lawati http://www.OpenEducation.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published.