Category Archives: Tip Perniagaan

Dalam keadaan krisis???…

Dalam perniagaan dan kewangan, pastinya kita tidak lari dari sesuatu krisis. Krisis sering dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan selalu juga membuatkan seseorang itu lemah dan rasa ingin putus asa. Dalam keadaan ini juga, umpama tidak kelihatan jalan keluar dari krisis tersebut. Segalanya seumpama tidak kena sahaja dan hendak melakukan apa sahaja terasa tiada bersemangat.

Pernahkah anda dalam keadaan ini?

Walaupun saya tidak mengharapkannya, tetapi mungkin anda pernah. Kita tidak akan lari dari sesuatu krisis dari masa ke semasa. Mungkin juga akan hadapi beberapa kali dalam masa setahun.

Perjalanan Dubai – Bangkok untuk urusan perniagaan

Pertama sekali, sekiranya anda pernah melalui ini, ianya adalah sesuatu yang biasa. Ianya dihadapi oleh semua orang. Manusia akan hadapi krisis tersendiri dari masa ke semasa. Walaupun dalam keadaan kiris kita umpama melihat diri kita sahaja yang mempunyai masalah dan tidak pada semua orang dikeliling kita, namun hakikatnya, semua orang menghadapi juga krisis tersendiri dan mengalami juga apa yang anda alami mungkin pada waktu yang berbeza.

Sekiranya krisis itu adalah dalam perniagaan, pastinya ilmu dan pengalaman dalam menjalankan perniagaan akan memabantu. Mungkin sukar mendapat pelanggan, atau tidak mencapai sasaran, atau perbelanjaan perniagaan yang meningkat, jawapannya adalah ilmu dan perniagaan. Lebih-lebih lagi ilmu yang belum kita miliki.

Ilmu yang kita miliki telah membawa anda ke tahap ini. Namun, ilmu yang belum lagi anda miliki adalah apa yang akan membawa perniagaan dan kewangan anda ke tahap yang lebih tinggi.

Namun satu persoalan yang sangat penting yang perlu dijawab adalah…

Tidak kira sedalam mana pun krisis yang anda hadapi, pernahkah anda tidak dapat dan tidak mampu keluar dari krisis tersebut?

Pastinya tidak bukan?

Pastinya Allah swt akan membantu anda keluar dari keadaan tersebut. Dan di sinilah kita perlu sering bersyukur dengan apa yang kita ada, dengan apa yang telah diberikan pada kita, dengan segala rezeki yang kita miliki bukan sahaja pada perniagaan dan kewangan, tetapi pelbagai rezeki yang lain yang kita tidak nampak ketika berada dalam keadaan krisis.

Wallahu a’lam

Irfan Khairi
Dubai, UAE

Pernah tak rasa takut nak lakukan sesuatu?

Pernah tak rasa takut nak lakukan sesuatu?

Saya sendiri pernah. Setiap kali jumpa bakal client baru, setiap kali mencuba teknik dan strategi perniagaan baru, setiap kali ingin mulakan perniagaan baru, pastinya saya juga akan terasa “takut”. Ketika melebarkan saya perniagaan hingga ke Dubai, UAE kini juga saya rasa takut pada permulaannya.

Irfan Khairi @ Dubai Marina

Sama juga seperti ketika saya menulis buku saya yang pertama, takut orang tak beli. Ketika pertama kali ingin mengendalikan seminar saya pada tahun 2005, takut orang tak datang sehingga saya tak tidur malam. Pertama kali berhadapan dengan orang ramai juga gemuruh dan takut untuk bercakap.

Tetapi, itulah tabiat manusia semula jadi. Kita akan rasa takut pada sesuatu yang kita tidak pernah lakukan. Kita akan takut melakukan sesuatu yang baru. Kita akan sentiasa risau “apa akan jadi?”

Namun tidak kiralah takut macam mana pun saya rasa, saya tetap lakukan juga.

Ketakutan selalunya adalah pada sesuatu yang kita tidak tahu. Fear of the unknown. Dan secara logiknya, kita tidak perlu takut pada sesuatu yang belum lagi terjadi bukan?

Tak mengapa sekiranya anda rasa takut. Ia adalah normal.

Tetapi jangan jadikan ketakutan itu penghalang untuk anda mengambil lankah dalam mencapai kejayaan anda.

Takut macam mana pun, perlu harungi juga.

-Irfan Khairi
Dubai, UAE

Cara meningkatkan harga produk atau perkhidmatan anda?

Baru-baru ini saya mendapat soalan dari peserta Akademi 5 Angka (www.5angka.com) berbunyi…

Apakah caranya untuk meningkatkan harga produk atau perkhidmatan perniagaan yang di jalankan, tanpa mengurangkan pelanggan?

Jawapan saya adalah, meningkatkan harga berkaitan dengan PERSEPSI.
Apakah maksud saya?

Sekiranya persepsi pelanggan terhadap perniagaan anda adalah bernilai tinggi, maka, anda boleh meletakkan harga yang lebih tinggi. Tetapi sekiranya persepsi terhadap perniagaan anda adalah bernilai rendah, maka pelanggan akan membayar pada harga yang rendah.

Salah satu cara paling mudah untuk meningkatkan PERSEPSI pelanggan terhadap perniagaan anda adalah dari segi reka cipta dan penjenamaan.

Saya pernah berbual dengan seorang usahawan berjaya yang menjual tali leher. Katanya, tali leher yang dijual sama sahaja. Tetapi, ia dijual dengan 2 cara.

Cara pertama, tali leher dijual tanpa kotak. Hanya disangkut pada penyangkut.

Cara kedua, tali leher dijual dengan kotak yang kelihatan cantik dan bermutu tinggi. Sekali lagi, isi kotak tersebut adalah tali leher yang sama (design berlainan).

Apa yang dilakukan adalah, harga tali leher berkotak yang kelihatan prestij itu, walaupun jenis yang sama, diletakkan pada harga dua kali ganda lebih tinggi berbandingkan dengan tali leher tidak berkotak.

Namun, kos kotak tersebut adalah sangat kecil sahaja.

Itulah yang dimaksudkan dengan PERSEPSI.

Persepsi orang terhadap tali leher berkotak adalah nilainya lebih tinggi berbanding dengan tali leher tidak berkotak.

Dalam konteks yang sama, untuk perniagaan di Internet, sama juga perihalnya. Cara meningkatkan harga dan menarik lebih ramai pembeli, adalah dengan cara rekacipta yang lebih profesional dan menarik lagi.

Di sini, saya ingin membantu anda yang menjalankan perniagaan atau merancang menjalankan perniagaan di Internet untuk menjadikan jenama anda lebih menarik dan mempunyai persepsi nilai yang lebih tinggi.

Perkhidmatan “JENAMAA” adalah bertujuan memberi perniagaan anda kelihatan lebih profesional dan menarik supaya persepsi nilainya adalah lebih tinggi.

Berikut adalah sebut harga untuk perkhidmatan JENAMAA, dan kali ini kami memberi diskaun tawaran istimewa seperti di bawah.

Untuk menempah sila berikan maklumat anda dengan menghubungi 0377292277 (waktu pejabat) atau email tempahan anda kepada : marinin@iksbmail.com

Namun, tawaran ini akan tamat pada hari JUMAAT 13hb Oktober sahaja. Oleh itu, sekiranya anda ingin bantuan kami dan nasihat saya sendiri dalam membina persepsi perniagaan anda, pastikan anda melakukan pesanan sekarang.

Tidak lagi perlu bersaing pada harga yang rendah apabila persepsi nilai perniagaan anda adalah lebih tinggi!

Pertemuan dengan Dato Dr Fadzilah Kamsah – motivasi ketika Ramadhan!

Pada awal Ramadhan, saya bertemu dengan guru & mentor saya. Siapa lagi kalau tak lain tak bukan, Dato Dr Fadzilah Kamsah. Sejak di kolej lagi saya sering mengikuti beliau. Pernah juga di “paksa” pergi ke ceramahnya ketika di UITM.

Pertemuan kami dianjurkan oleh Inspire Cafe.

Dalam pertemuan ini, kami berbual mengenai perniagaan Inspire Cafe terbaru iaitu Green Tea Moringa, dan juga petua-petua ketika bulan Ramadhan. Klik pada video di bawah untuk saksikan perbualan kami yang lucu pun ada, berinformasi pun ada!

Apabila berjumpa dengan seorang motivator, pastinya soalan saya adalah mengenai bagaimana caranya untuk motivasikan diri ketika Ramadhan. Dan jawapan Dato Dr Fadzilah Kamsah sangat-sangat lengkap.

Apa kata saksikan video pertemuan kami ini dimana saya telah lakukan rakaman ketika LIVE bersama pakar motivasi #1 Malaysia, Dato Dr Fadzilah Kamsah dan ketahui bagaimana caranya meningkatkan motivasi ketika bulan Ramadhan.

 

Motivasi Moringa #2 : Satu Cara Tingkatkan Keyakinan Diri

Adakalanya kita akan rasa kurang keyakinan diri. Dari manakah datangnya perasaan kurang keyakinan diri ini?

Sebenarnya, apabila keterampilan kita kurang meyakinkan, kita juga akan rasa kurang keyakinan diri. Mat Saleh kata don’t judge a book by it’s cover, tetapi manusia akan tetap melakukan juga. Mereka akan melihat keterampilan seseorang itu dan mereka akan mendapat keyakinan daripada apa yang mereka pandang.

Oleh itu untuk anda mendapat keyakinan diri, anda kena meningkatkan lagi keterampilan anda supaya anda kelihatan ceria, bersemangat dan juga berpakaian menarik. Apabila anda melakukan ini, keyakinan diri juga akan meningkat.

Bagaimana untuk bermula? Mulakan dengan senyuman sahaja. Apabila kita senyum, ia akan memberi keyakinan kepada diri kita sendiri, ia akan memberi keyakinan kepada orang lain dan lebih penting lagi keyakinan ini akan membuatkan anda rasa seperti anda tidak boleh dihentikan dalam mencapai apa sahaja yang anda mahu.

Siri ini ditaja oleh Inspire Cafe, pengeluar produk minuman Green Tea Moringa.

Hijrah saya ke Dubai untuk perniagaan

Pertama kali di hadapan Burj Khalifa Dubai 2014!

Esok, InshaAllah saya akan berangkat ke Dubai untuk entah kali yang ke berapa. Sejak tahun lepas lagi, setiap bulan akan ke sana mengendalikan 3 perniagaan saya di sana, iaitu IK Institute of Business, syarikat software saya FLOW dan juga perkhidmatan consulting untuk perniagaan-perniagaan antarabangsa.

Cuma kali ini, perasaannya lain sedikit…

Pertama kali saya menjejakkan kaki saya di Dubai adalah pada November 2014 atas jemputan mengendalikan talk di sana khusus untuk usahawan Muslim.

Memberi talk bersama rakan saya, Peter Gould di Dubai 2014

Sememangnya saya telah mengendalikan talk di London, LA, New York, Barcelona, Paris, Korea, Japan, India dan beberapa bandaraya/negara lagi, tetapi jemputan saya di Dubai mempunyai tarikannya tersendiri.

Berkemungkinan besar pada ketika itu, UAE adalah satu-satunya negara Islam yang menjemput saya kendalikan talk di luar Malaysia.

Kali pertama melihat bandaraya baru Dubai, tersangatlah canggih dengan banggunan tertinggi dunia, Burj Khalifa tersergam di situ. Di shopping center dan lapangan terbang pula berkumandang seruan azan setiap kali masuk waktu solat. Tidak seperti negara bukan Islam lain, makan minum di Dubai adalah sangat mudah (walaupun agak mahal!). Mungkin gabungan ini juga menjadi penarik untuk saya sering ingin memulakan sesuatu di Dubai.

Menaiki Metro Dubai

Teringat saya pada tahun 2014, ketika menaiki Metro Dubai (macam LRT/MRT), saya lalui bandar-bandar Dubai yang agak terancang. Di sana, terdapat Automobile City, Sports City, Media City, Academic City, Financial Center, Knowledge Village kesemuanya dirancang rapi pembangunan.

Ketika Metro tersebut melalui billboard besar “Dubai Internet City”, ketika itu terdetik di hati saya, bahawa satu hari nanti, saya perlu mempunyai perniagaan di Dubai!

Dubai Internet City. Pusat tertumpu Microsoft, IBM, Cisco, Facebook, Google dan lain2…

Mana taknya, Internet adalah hidup saya. Sejak memulakan perniagaan Internet, tahun 2000 hingga kini, ia telah menjadi gaya hidup saya. Bak kata, kalau terputus wi-fi, memang saya akan gelisah.

Bukan sebab tiada akses Facebook atau YouTube, tetapi lebih lagi kerana perniagaan saya bergantung 100% pada Internet sejak dulu lagi.

Melihat “Dubai Internet City” dari Metro Dubai, saya hanya mampu berangan ketika itu. Bermula dengan angan-angan itu, ia umpama telah menanam benih dalam diri saya sendiri untuk berusaha ke arah itu.

Sejak pertama kali melakukan talk di sana, saya mula mendapat lagi jemputan ke Dubai. Tetapi tidak sehingga setahun kemudian, saya mendapat jemputan oleh Al Jazeera, kali ini bukan di Dubai tetapi di Qatar. Sebuah nama yang tidak asing lagi dalam media antarabangsa membuatkan saya lebih yakin bahawa ilmu yang saya miliki dalam bidang perniagaan dan Internet mempunyai permintaan yang baik di Timur Tengah.

Terpilih antara 16 Media Catalyst serata dunia bersama rakan-rakan di Al Jazeera, Qatar

Tambahan, saya mula mendapat perhatian dan lebih ramai kenalan di sana, membuatkan saya mulakan langkah saya untuk membina sesuatu di Dubai. Dalam perniagaan, pastinya “networking” itu adalah sangat penting. Memulakan sesuatu di negara orang, pastinya memerlukan sokongan sebaik yang mungkin dari kenalan yang sudah sedia ada di sana.

Secara senyap, saya telah merancang langkah saya untuk memulakan sesuatu di Dubai ketika itu. Pada awal tahun 2016, ketika itu semakin serius saya mengambil keputusan untuk memulakan Irfan Khairi Institute of Business di Dubai.

Jun 2016, IK Institute of Business, Dubai dilancarkan.

Program Irfan Khairi Institute of Business, Dubai

Alhamdulillah, perniagaan saya dan jenama saya di Malaysia telah dikenali. Antara umur saya 30 tahun hingga 40 tahun, saya banyak berusaha melahirkan ramai usahawan di Malaysia. Kini, umur saya dah memasuki 4-series (bak kata orang, life begins at 40), matlamat saya adalah untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan di peringkat global pula.

Dan Dubai merupakan pusat, bukan sahaja dari segi lokasi geografi tetapi juga dari segi ekonomi dan infrastruktur yang dapat membantu saya mencapai matlamat ini pula InshaAllah.

Esok InshaAllah saya akan bertolak ke Dubai sekali lagi, mungkin untuk 10-12 hari kali ini.

Tetapi kali ini perasaannya lain sedikit oleh kerana telah pasang niat sekiranya ada rezeki, akan berpindah terus ke Dubai satu hari nanti…

InshaAllah akan ke Dubai esok!

Bukan akan meninggalkan Malaysia, tetapi sekiranya saya berpusat di sana, maka lebih mudah untuk kembangkan lagi perniagaan saya di sana pula, dan sebulan sekali akan pulang ke Malaysia untuk kendalikan program-program saya di sini masih.

InshaAllah, inilah hijrah saya seterusnya dalam bidang perniagaan. Mudahan dipermudahkan satu hari nanti!

Kejayaan perniagaan saya paling manis bukan pendapatan RM1,000,000

Kejayaan paling manis buat saya bukanlah ketika saya berjaya menjana pendapatan RM1,000,000 yang pertama…

Tetapi lebih 10 tahun kemudian apabila nama saya tertera di dalam buku teks murid-murid sekolah!

Buku teks Perniagaan Tingkatan 4 tahun ini!

Alhamdulillah, tahun ini adalah kali ketiga nama dan sedikit kisah saya tertera di dalam buku teks sekolah. Kali ini, untuk buku teks Perniagaan Tingkatan 4 pula.

Teringat saya kali pertama ketika kisah saya dikongsikan dalam buku teks murid Darjah 2 sekolah rendah sejak beberapa tahun lalu. Perasaan yang tidak dapat saya gambarkan semula dalam bentuk penulisan lebih-lebih lagi apabila anak-anak saya sendiri belajar mengenai saya di sekolah.

Cinta (kiri) ketika darjah dua dan Kasih (kanan) ketika darjah 5

Apabila saya tanya pada Ikhlas, anak saya yang ke-tiga, apa yang dia lakukan dalam kelas ketika cikgu mengajar mengenai saya di dalam buku teks, dengan nakalnya Ikhlas menjawab dia melukis misai pada gambar saya 🙂

Kali ke-dua kisah saya dikongsikan adalah untuk buku aktiviti Darjah 5 pula. Anak perempuan saya ke dua, Kasih pula berpeluang melakukan aktiviti kelas dengan ayahnya sebagai bahan aktiviti.

Sememangnya saya telah melalui pelbagai turun naik perniagaan sejak 17 tahun yang lalu dan pelbagai pengalaman manis yang dilalui. Namun, bagi saya, diberi peluang menjadi isi di dalam buku teks pelajar sekolah adalah kenangan yang paling manis sekali!

Sangat berat tanggungjawab yang dipikul apabila menjadi ikon perniagaan untuk murid-murid sejak di bangku sekolah lagi, namun InshaAllah tanggungjawab tersebut saya redhai dengan penuh kesyukuran.

Terima kasih kepada anda yang sentiasa memberi sokongan!

Mulakan perniagaan dengan cara menjual produk ORANG LAIN

Ramai yang hendak mulakan perniagaan, tetapi, sering kali dengan alasan tiada modal atau tiada produk sendiri.

Pada tahap permulaan, tidak perlu pun mempunyai modal yang besar atau perlu produk jenama sendiri. Melainkan anda seorang yang dikenali, mempunyai jenama, dan mempunyai modal yang besar, maka baru saya cadangkan anda memiliki produk sendiri.

Apa yang boleh dilakukan adalah, pilih bidang perniagaan yang ingin dijalankan, contoh bidang pemakanan, kemudian hubungi syarikat ‘Contract Manufacturing’ ataupun yang dikenali sebagai ‘OEM’ (Original Equipment Manufacturer) untuk menghasilkan produk pemakanan berjenamakan anda sendiri. Contoh syarikat OEM adalah seperti ini.

Tentunya memerlukan modal yang agak besar untuk menghasilkan produk sendiri, menyimpan stok, promosi dan lain lain.

Sebaiknya, sebelum memulakan perniagaan sebegini, iaitu menghasilkan produk berjenama sendiri (tentunya gah mempunyai produk jenama sendiri!), apa kata cuba, belajar dan cari pengalaman dulu dalam bidang perniagaan dengan menjual produk orang lain terlebih dahulu.

Mulakan dengan menjual produk orang lain dulu…

Bayangkan, sekiranya anda tidak boleh menjual 10 atau 100 unit produk orang lain, bagaimana anda hendak menjual 1000 atau lebih unit produk berjenamakan anda kelak?

Nasihat saya sama juga seperti sekiranya anda ingin memulakan apa sahaja perniagaan. Cari pengalaman terlebih dahulu dalam bidang perniagaan tersebut. Mungkin kerja makan gaji untuk beberapa bulan atau tahun untuk mencari pengalaman.

Diri saya sendiri, kerja makan gaji sebagai seorang konsultan di sebuah syarikat bernama NetMedia selama 2 tahun lebih untuk mencari pengalaman sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan Internet yang berkaitan. Tanpa pengalaman, pastinya jalan memulakan perniagaan adalah lebih sukar.

Berbalik kepada ingin memulakan perniagaan, apa kata pada tahap awal, cuba jual produk orang lain terlebih dahulu. Cari minat dan juga bidang anda, kemudian, jadi agent kepada perniagaan yang sedia ada.

BioGuard membuka peluang untuk agent

Sebagai contoh, sekiranya minat anda adalah dalam bidang bercucuk tanam, apa kata anda cuba menjadi agent kepada syarikat BioSense yang menghasilkan racun serangga organik yang berkualiti, BioGuard. BioSense juga telah mengeluarkan modal promosi dan penjenamaan, dengan cara ini anda telah jimat dari segi pemasaran.

Apa yang anda perlu lakukan adalah menjadi agent kepada syarikat mereka dan bina perniagaan anda sendiri dalam bidang penjagaan tanam-tanaman dan pertanian. Cara ini ianya lebih mudah untuk anda mendapat pendapatan sampingan dan mulai mengatur langkah untuk bergerak lebih jauh di dalam bidang perniagaan.

Sekiranya anda berminat untuk menjadi ajen Bioguard, sila ke www.pestvanish.com atau hubungi terus 06-6011607 atau 019-6222360 dan bercakap dengan Doktor Rokiah.

Workshop PERCUMA: Strategi Survival Perniagaan Ketika Ekonomi Down.

Salam semua!

Suka saya menjemput anda pada hari Rabu, bersamaan 29hb March ini, saya akan mengadakan sesi Workshop Percuma di pusat latihan saya di Mutiara Damansara bertajuk…

Strategi Survival Perniagaan Ketika Ekonomi Down!

Khusus kepada usahawan dan bakal usahawan terutamanya usahawan offline, saya akan kongsikan berdasarkan pengalaman perniagaan saya 17 tahun bagaimana hendak maintain dan tingkatkan lagi pelanggan dan perniagaan walaupun dalam keadaan ekonomi tenat.

Sepanjang pengalaman perniagaan saya sebagai seorang usahawan telah melalui 3 keadaan kegawatan ekonomi. Tambahan, ketika saya memulakan perniagaan juga ketika ekonomi down.

Terdapat 4 strategi yang saya lakukan yang Alhamdulillah bukan sahaja dapat maintain perniagaan saya selama 17 tahun, malah dapat kembangkan ke peringkat antarabangsa.

Strategi tersebut adalah “P4” yang akan menunjukkan…

  • Cara mendapatkan pelanggan pada kos yang jauh lebih rendah
  • Cara bersaing dengan pesaing lebih hebat ketika ekonomi down
  • Cara merancang ‘backup plan’ sekiranya apa yang dilakukan kini tidak menjadi
  • Cara memaksimakan sumber sedia ada dalam meningkatkan keuntungan

Sesi workshop ini adalah percuma sahaja dan tempat adalah terhad berdasarkan first come first serve basis sahaja. Jadi, anda perlu melakukan tempahan/booking tempat anda sekiranya anda ingin menyertai sesi workshop percuma ini.

Workshop:           Strategi Survival Perniagaan Ketika Ekonomi Down.
Waktu/Tarikh:    9.00 malam, Rabu 29hb March 2017
Penyampai:         Irfan Khairi
Lokasi:                   Ruang@IKSB, 16-1 Jalan PJU 7/16, Mutiara Damansara, 47800 PJ

Workshop percuma ini adalah terbaik untuk anda yang…

  • Kini menjalankan perniagaan offline dan mendapati keadaan ekonomi memberi kesan kepada perniagaan anda
  • Sukar untuk mendapat pelanggan oleh kerana pelanggan semakin berhati-hati ketika keadaan ekonomi kini
  • Menjalankan perniagaan yang mempunyai pesaingan yang sengit
  • Bakal ingin memulakan perniagaan pada tahun ini.

Sekiranya anda ingin mengetahui Strategi 4P Survival Perniagaan Ketika Ekonomi Down dalam meningkatkan perniagaan anda ketika ekonomi down, minta untuk anda lakukan booking dengan cara menghantar email kepada    dengan tajuk email “Strategi Survival Perniagaan Ketika Ekonomi Down.” bersama nama anda, nombor HP anda dan jumlah peserta/tempat booking.

Kami akan menghantar confirmation email apabila tempat anda ditetapkan.

Jumpa anda di sana!

-Irfan Khairi
Kuala Lumpur

Saya pernah ditipu pekerja, business partner dan pelanggan!

Ragam manusia pelbagai. Tidak kira dalam hidup harian atau dalam bidang perniagaan. Dalam bidang perniagaan, saya sendiri tidak lari dari ditipu oleh pekerja dan rakan niaga. Tidak kira berapa tahun pengalaman kita dalam bidang perniagaan, sikap sebenar seseorang hanya Allah swt sahaja yang tahu.

Mungkin pada mulanya, semua kelihatan baik dan lancar. Tanpa kita ketahui, satu hari nanti kita akan terkena oleh mereka.

Ditipu rakan niaga…

Pernah juga saya ditipu rakan niaga, yang hanya mahukan wang pelaburan dari saya pada awal perniagaan, tetapi keuntungan perniagaan tidak dikongsikan. Atas dasar percaya kepada seorang kawan, tiada perjanjian hitam putih dilakukan.

Kes sebegini bukan jarang didengar, malah ramai yang telah melaluinya. Ada juga perniagaan yang jatuh bankrupt atas dasar percaya pada mulut rakan niaga.

Sememangnya silap saya yang masih mentah dalam perniagaan ketika itu oleh kerana ia mengajar saya untuk asingkan “kenalan” dan “perniagaan”. Apa sahaja yang berkaitan dengan perniagaan perlu dihitam putihkan. Perlu mempunyai perjanjian yang ditandatangani yang bergelar kontrak.

Sememangnya adakalanya mempunyai hitam putih pun, boleh lagi seseorang yang berniat jahat akan menipu juga. Tetapi, sekurang-kurangnya dengan adanya hitam putih boleh dikenakan tindakan undang-undang. Ini akan mempermudahkan kita satu hari kelak.

Sudah beberapa kali perniagaan saya mendapat bantuan undang-undang apabila terdapatnya kontrak yang ditandatangani. Tanpa perjanjian bertulis sebegitu, pastinya sekadar perang mulut sahaja tanpa kesudahan.

Ditipu pekerja…

Begitu juga apabila undang-undang menyebelahi saya apabila seorang pekerja ditangkap mencuri beberapa puluh ribu ringgit dari perniagaan. Tak disangka seorang yang dipercayai sanggup melakukan sebegitu setelah bertahun-tahun lamanya bersama dalam perniagaan.

Bagaimana perkara ini berlaku tanpa disedari?

Maklumlah, apabila seseorang mempunyai niat yang tidak baik, pastinya mempunyai cara, dalam melakukan niat tersebut. Ada saja jalannya seperti mengambil sedikit demi sedikit hingga pihak pengurusan tidak sedar selama berbulan atau bertahun.

Tambah-tambah sekiranya kita mudah mempercayai seseorang itu, maka lagi mudahlah seseorang pekerja menipu kita. Mudah-mudahan dijauhkan dari kita semua.

Teringat saya tentang kes seorang pekerja bank satu waktu dulu yang membeli kereta Lamborghini dengan cara mencuri wang bank. Apa yang dilakukan hanyalah mengambil beberapa sen dari setiap pengguna sehingga mengumpulkan berjuta wang dari penipuan tersebut! Pengguna dan pihak bank pada awalnya tidak sedar oleh kerana jumlah yang diambil terlalu kecil untuk setiap pengguna!

Sedangkan pihak bank pun boleh ditipu pekerja, apatah lagi kita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan bukan?

Namun kes pekerja yang mencuri dari perniagaan saya, akhirnya pekerja tersebut dikenakan tindakan undang-undang dan dipenjarakan.

*Gambar hiasan sahaja. Tak sanggup letak gambar sebenar bekas pekerja tersebut.

Ditipu pelanggan…

Ada juga kes dimana ditipu pelanggan. Di mana, pelanggan berjanji akan membayar untuk perkhidmatan yang diberikan. Namun, setelah perkhidmatan diberikan, hutang pelanggan dari sehari menjadi seminggu. Dari seminggu menjadi berbulan. Dan dari berbulan menjadi bertahun-tahun sehingga pelanggan tidak menjelaskan bayaran untuk perkhidmatan itu.

Pernah tak anda memberi pinjaman wang kepada kenalan atau keluarga yang meminta-minta? Mungkin dengan muka kesian tersebut, kita pun berilah pinjaman. Namun, bila masa untuk bayar balik pinjaman tersebut, begitu liat mereka hendak lunaskan. Apa yang jadi, kita yang memberi pinjaman tersebut pula berasa segan untuk meminta balik pinjaman itu! Pada mulanya masa meminta dengan muka kesian, tetapi apabila hendak bayar balik, tarik muka bengang pula.

Begitulah keadaannya dalam perniagaan bila pelanggan berhutang dan sukar untuk membayar. Kita pula yang malu hendak meminta.

Sedangkan dalam Islam juga digalakkan menjalankan perniagaan secara tunai dan bukan secara hutang.

Teringat saya nasihat perniagaan Abdul Rahman bin Auf, seorang sahabat Rasulullah yang sangat berjaya dalam bidang perniagaan, nasihatnya adalah hanya jalankan perniagaan secara tunai sahaja. Dan tidak berhutang. Sangat tepat dan setuju dengan nasihat ini!

17 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan mengajar saya pelbagai perkara. Ada turun naiknya perniagaan, ada suka dukanya dalam perniagaan. Namun, semua cabaran tersebut perlu diredhai dan terima dengan sepenuh hati.

Dalam perniagaan, teknik dan strategi perniagaan boleh kita belajar. Namun, sifat dan sikap manusia sentiasa menjadi tanda tanya oleh kerana kita sendiri tidak tahu hati budi seseorang itu.

Pernahkah anda mengalami keadaan seperti ini? Jika pernah, maka tahniah kerana inilah pahit manis yang perlu dilalui oleh seseorang yang bergelar usahawan. Jangan putus asa kerana cabaran sebegini akan menguatkan lagi anda dalam dunia perniagaan!